Pesta Bola Merdeka: Tiada Sebarang Permohonan Daripada India
June 19, 2024 Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan tidak menerima sebarang permohonan daripada pasukan yang menghuni ranking ke-121 dunia iaitu India untuk menyertai saingan Pesta Bola Merdeka 2024.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman ketika ditemui pengamal media selepas sidang media bersama skuad kebangsaan bawah 17 tahun (B-17), pada hari ini.

“India takde (hantar) apa-apa lagi,” jawabnya.

Terdahulu, Hindustan Times melaporkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), Kaylan Chaubey berharap skuadnya akan beraksi di Pesta Bola Merdeka pada Oktober nanti.

Pada edisi yang lalu, India merupakan salah satu pasukan yang menyertai saingan ini bersama-sama Tajikistan dan Lubnan sebelum digantikan dengan Palestin yang akhirnya menarik diri pada saat-saat akhir.

Penyertaannya dalam edisi itu menyaksikan India tewas 2-4 di tangan Malaysia pada perlawanan pertama sekaligus gagal mara ke perlawanan akhir.

Mengulas dengan lebih lanjut mengenai Pesta Bola Merdeka pada edisi kali ini, Azman berkata pihaknya telah menghantar jemputan kepada beberapa buah pasukan dan sedang menantikan jawapan balas daripada pasukan-pasukan berkenaan.

Difahamkan, jemputan itu dihantar kepada pasukan-pasukan yang menghuni ranking lebih tinggi serta setara dengan Malaysia bimbingan Kim Pan-gon.

“Kita dah hantar beberapa jemputan dalam lima ke enam (pasukan) untuk (sertai) Pesta Bola Merdeka, kita tunggu hujung bulan ni,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Azman turut mengesahkan jemputan-jemputan itu hanya dihantar kepada pasukan-pasukan dari benua asia sahaja.

Sementara itu, pihaknya belum memutuskan samada mahu mengadakan Pesta Bola Merdeka Edisi Ke-43 ketika Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA bulan September atau Oktober.

Bagaimanapun, pihaknya lebih menyukai sekiranya ianya dianjurkan pada September memandangkan bulan tersebut merupakan bulan kemerdekaan.

Untuk makluman, Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA pada September berlangsung dari 2hb-10hb manakala bagi bulan Oktober pula dari 7hb-15hb.

Sementara itu, Azman mengesahkan format bagi Pesta Bola Merdeka kali ini sama seperti edisi lalu manakala venuenya pula di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen