10 Faktor ASTAF Tawar PSM Hos Sepak Takraw Piala Asia 2025
June 20, 2024 Hafizuddin Omar

Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) mengumumkan menawarkan hak penganjuran atau tuan rumah bagi edisi sulung Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia (Asia Cup) pada tahun 2025 kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Menerusi satu kenyataan media, tawaran tersebut telah dibuat oleh Jawatankuasa Tertinggi ASTAF dalam satu mesyuaratnya di Bangkok baru-baru ini.

Dimaklumkan, pertimbangan tawaran itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan cadangan berkaitan kemampuan beberapa buah negara yang telah disenaraikan untuk menganjurkan kejohanan tersebut yang akhirnya sebulat suara memutuskan melantik Malaysia selaku tuan rumah. 

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader mengharapkan agar Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan dan Majlis Tertinggi PSM dapat mempertimbangkan tawaran tersebut dengan sebaiknya sambil menyenaraikan sepuluh faktor tawaran itu dibuat kepada PSM.

Foto: Facebook Hannah Yeoh

#1 Malaysia telah menganjurkan ISTAF Sepak Takraw World Cup Kuala Lumpur dengan begitu cemerlang dan penuh gilang-gemilang pada 16hb-26hb Mei 2024 lalu

#2 Komitmen tinggi, kesungguhan dan semangat jitu melaksanakan tanggungjawab yang telah dipamerkan oleh semua Jawatankuasa Pelaksana PSM melalui jaringan kolaborasi bersama pasukan ISTAF berjaya memastikan perjalanan pertandingan yang lancar, menepati waktu, mematuhi undang-undang dan peraturan serta tanpa timbulnya sebarang protes dari pengurus mahupun jurulatih.

Foto: Facebook Hannah Yeoh

#3 Pelaksanaan Bengkel Anti-Doping oleh ISTAF dengan sokongan kuat pihak Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) yang diketuai Pengarahnya, Puan Azura Abidin bersama ISTAF dan PSM melibatkan para pemain, jurulatih dan pengurus telah berjaya mengangkat imej PSM sebagai sebuah persatuan sukan yang sentiasa memberi fokus utama memastikan semua atlit sepak takraw bebas dari pengaruh bahan terlarang yang boleh merosakkan kesihatan dan mencemarkan imej negara.

#4 PSM dan ISTAF juga secara tak langsung telah berjaya meletakkan satu tanda aras (benchmark) di mana semua atlit sepak atkraw mesti bertanding atas dasar “FAIR PLAY” yakni bersih dan adil serta menjadi juara yang sebenar.

Foto: Persatuan Sepak Takraw Malaysia

#5 Penglibatan sepenuhnya Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan dalam mengilhamkan penghasilan lagu tema dan trofi Piala Dunia Kuala Lumpur telah menyerlahkan lagi kemampuan dan keterlibatan beliau untuk menjadikan kejohanan tersebut amat berprestij serta dapat mencapai standard piala dunia yang setanding dengan sukan lain sebelum ini.

#6 Komitmen tinggi oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Hannah Yeoh juga berperanan penting untuk memastikan penganjuran pertandingan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan dapat menarik perhatian dunia terhadap sukan sepak takraw. Beliau sentiasa mempamerkan usaha gigihnya dengan hadir di Majlis Pelancaran Trofi ISTAF World Cup Sepak Takraw dan juga telah turut sama menyuntik semangat kepada para pemain dan semua petugas di stadium serta terlibat secara langsung dalam upacara penyampaian hadiah meraikan kejayaan bersejarah skuad negara di podium.

Foto: Facebook Hannah Yeoh

#7 Lebih mustahak adalah keprihatinan YB Hannah Yeoh yang membolehkan PSM merealisasikan matlamat pelaksanaan penganjuran ISTAF World Cup Sepak Takraw melalui pemberiaan geran penajaan sukan berjumlah RM1 juta.

#8 Kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Dato’Seri Dr. Hj. Ahmad Zahid Hamidi dan Yang di-Pertua Negeri Melaka TYT Tun Seri Setia Dr. Hj. Mohd. Ali Mohd. Rustam bersama beberapa orang Menteri Kabinet ke venue pertandingan ternyata telah berjaya memberikan perangsang dan membakar semangat skuad negara untuk beraksi dengan cemerlang hingga beroleh kejayaan berganda muncul juara dalam acara regu dan double.

Foto: Facebook Hannah Yeoh

#9 Disamping itu juga, ujian anti-doping oleh ADAMAS yang telah dilakukan ke atas 14 orang atlet di sepanjang kejohanan berlangsung telah mempamerkan kepada World Anti-Doping Agency (WADA) betapa seriusnya ISTAF terhadap usaha membanteras bahan terlarang di kalangan atlet sepak takraw pada setiap kejohanan anjuran ISTAF.

#10 Penglibatan dan sokongan para penyokong sepak takraw di Malaysia amat membanggakan dan ini dapat dibuktikan dengan kehadiran penonton yang begitu ramai memenuhi setiap ruang stadium dan jualan tiket yang teramat laris serta tontonan di media sosial yang berjaya mencapai jumlah tertinggi dalam sejarah penganjuran di Malaysia. Kehadiran mereka juga telah mengangkat martabat sukan sepak takraw di persada dunia.

Tambah Abdul Halim yang juga merupakan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) lagi, kejohanan yang julung kalinya diadakan ini juga bertujuan menjadi medan ujian bagi negara-negara yang akan terlibat dengan Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Thailand.

Komen