Juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 iaitu Sabah FA akan mendapat habuan bernilai AS$100,000 atau bersamaan RM471,100 sekiranya layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) 2024-25.
Itu merupakan amaun minimum yang dijanjikan penganjur, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kepada kesemua 12 kelab yang beraksi pada peringkat kumpulan kejohanan yang akan berlangsung 6hb-12hb Oktober.
Sementara itu, bagi kelab yang berhasil mara ke peringkat suku akhir dan separuh akhir, AFC akan memberikan ganjaran tambahan sebanyak AS$80,000 (RM376,880) dan AS$120,000 (RM565,320) masing-masing.

Manakala tambahan sebanyak AS$500,000 (RM2.4 juta) dan AS$1 juta (RM4.7 juta) akan diberikan kepada kelab yang muncul naib juara dan juara.
Bagaimanapun, sebelum wang tunai bernilai hampir setengah juta itu masuk ke kantung, skuad wanita Sabah bimbingan Justin Ganai perlu mengharungi peringkat kelayakan melibatkan 14 kelab bermula dari 25hb hingga 31hb Ogos.
Kesemua 14 tersebut akan dibahagikan kepada empat kumpulan dimana dua daripadanya diisi empat kelab dan dua buah kumpulan lagi disertai tiga kelab masing-masing.
Landmark #AWCL to feature 22 clubs ahead of Preliminary Stage and Group Stage Draw ceremonies on July 18! https://t.co/U38r2oxIaB
— AFC (@theafcdotcom) June 14, 2024
Jordan, Arab Saudi, Thailand dan Malaysia akan menjadi hos berpusat bagi setiap kumpulan peringkat kelayakan itu.
Untuk makluman, hanya juara kumpulan peringkat kelayakan sahaja yang akan dapat melayakkan diri bersama lapan buah kelab lagi yang telah mengesahkan penyertaan secara automatik ke peringkat kumpulan AWCL.
Sebagai rekod, skuad wanita Sabah diberikan slot peringkat kelayakan AWCL 2024-25 pada 8 Jun lalu oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Kadar tukaran pada 20 Jun 2024: AS$1 = RM4.71
Featured Image: Football Association of Malaysia