Pakaian Rasmi Kontinjen Malaysia Di Bawah Tanggungjawab MOM – Hannah
June 24, 2024 Hafizuddin Omar

Rekaan pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 di Paris yang dilancarkan bersempena dengan Hari Olimpik yang diadakan di The Exchange, TRX semalam mengundang pelbagai kritikan daripada orang ramai.

Menjengah di pelbagai platform media sosial, pakaian rasmi yang terdiri daripada t-shirt kolar bulat, t-shirt berkolar, jaket dengan warna tema emas dan hitam serta digabungkan dengan elemen belang Harimau disifatkan sebagai buruk oleh orang ramai.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menerusi akaun media sosial peribadinya menjelaskan rekaan pakaian rasmi tersebut adalah diluar bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).

“Pakaian Rasmi Kontinjen Malaysia ke pelbagai (temasya) sukan adalah di bawah tanggungjawab Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Ini merupakan hasil kerjasama antara Yonex (Sunrise) dan MOM dan ia di luar bidang kuasa KBS dan MSN,” katanya menerusi X, hari ini.

Sebagai rekod, Yonex Sunrise telah menyediakan pakaian rasmi kontinjen  untuk MOM di pelbagai temasya sukan bermula Sukan SEA 2021 Vietnam.

Featured Image:  Majlis Olimpik Malaysia

Komen