Sultan Selangor Murka Dengan Keputusan MFL – Tak Masuk Akal & Berlebihan
June 26, 2024 Hafizuddin Omar

Keputusan pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) menerusi Ahli Lembaga Pengarahnya yang menjatuhkan empat hukuman ke atas Selangor FC mendatangkan murka DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj.

Semalam, MFL mengumumkan mengenakan hukuman ke atas Selangor FC denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan MFL, pemotongan tiga mata dan beraksi perlawanan LS14 menentang JDT di Stadium MBPJ tanpa kehadiran penonton.

Hukuman tersebut dikenakan ke atas skuad berjulukan Red Giants tersebut ekoran tidak hadir untuk aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan perlawanan pertama Liga Super 2024-25 menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 10 Mei lalu.

Sebelum ini, Baginda yang juga merupakan penaung Selangor FC memberikan perkenan kepada Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan tersebut selepas permohonan mereka untuk menangguhkan perlawanan itu ditolak oleh MFL.

Penangguhan itu dibuat selepas pemain tonggaknya, Faisal Halim diserang dengan asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat beli belah pada 5hb Mei selain beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional berlaku pada minggu yang sama.

“Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang Beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku,” titah baginda menerusi satu kenyataan akhbar yang dikongsikan oleh Selangor Royal Office pada hari ini.

Pada masa yang sama, baginda turut menzahirkan rasa kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan ahli-ahli MFL serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin.

“Beta terkejut dan kecewa kerana Dato’ Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada Beta.” titah baginda lagi.

Menerusi kenyataan akhbar itu juga, Baginda turut berpandangan empat hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.

“Beta telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa zaman FAS diterajui oleh Dato’ Seri Harun Idris sehingga Beta bersara pada tahun 1990, dan dalam tempoh itu belum pernah Beta saksikan keadaan seperti sekarang ini.”

“Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan. Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain.”

“Beta juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini. Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan halajutu pasukan Selangor FC.” titah baginda lagi.

“Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS. Namun jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu.”

“Beta ingin mengingatkan sekali lagi bahawa bola sepak adalah sukan yang digemari dan menyatupadukan rakyat Malaysia berteraskan semangat kesukanan yang tinggi. Tindakan-tidakan melampau MFL ini langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini.”

“Beta ingatkan kepada MFL, buatlah keputusan dengan berhati-hati.”

View this post on Instagram

A post shared by Selangor Royal Official (@selangorroyalofficial)

Featured Image: Selangor Royal Office 

Komen