Selangor Ada Masa 3-4 Hari Kemuka Rayuan – CEO MFL
June 26, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad berpangkalan di Lembah Klang iaitu Selangor FC yang dikenakan empat hukuman oleh Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) mempunyai masa selama tiga hingga empat hari untuk mengemukakan rayuan.

MFL di dalam kenyataan pengumuman hukuman kepada Selangor FC semalam tidak menyatakan boleh mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan.

Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam tampil memaklumkan perkara itu boleh dilakukan kepada badan rayuan untuk mengurangkan samada bentuk atau jumlah hukuman yang dikenakan ke atas mereka.

“Sebagaimana rakan-rakan media tahu, masih di dalam proses perundangan dan juga pasukan Selangor ada akses kepada proses rayuan, 

“Kami harap pasukan Selangor atau mana-mana pasukan yang tidak berpuas hati dengan mana-mana sanction (hukuman) yang dikeluarkan oleh badan pengelola liga boleh mengeluarkan surat rayuan untuk memastikan proses ini dibawa ke peringkat lagi satu iaitu peringkat rayuan,”

“Daripada empat rayuan tersebut, badan rayuan akan meneliti proses keputusan dibuat, jikalau daripada empat perkara tersebut perlu kepada satu atau dua perkara dipertimbangkan semula boleh diambil daripada badan rayuan,”

“Prosesnya pasukan Selangor ada tiga atau empat hari untuk mengemukakan surat rayuan, selepas itu, badan rayuan akan (meneliti) dokumen yang relevan dan akan bersidang, mungkin dalam dua ke tiga ke empat minggu,” katanya ketika ditemui para pengamal media di Majlis Pecah Tanah Pusat Latihan Kebangsaan di Putrajaya, hari ini.

Semalam, skuad berjulukan Red Giants itu dikenakan hukuman denda sebanyak RM100,000, bayar pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta beraksi menentang Johor Darul Ta’zim pada minggu perlawanan ke-14 tanpa kehadiran penyokong di Stadium MBPJ.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen