8 Pasukan Sertai Liga Wanita Nasional 2024 Bermula 6 Julai 
June 27, 2024 Hafizuddin Omar

Sebanyak lapan buah pasukan tampil mewarnai kancah Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 yang akan membuka tirainya bermula 6 Julai kelak.

Lapan buah pasukan yang disahkan akan mengambil bahagian ialah Melaka, Red Eagles SC (Kedah), Real CJ FC (Pulau Pinang), Sabah, Selangor, Kelana United FC, Malaysian University dan SSMP.

Ianya merupakan satu peningkatan berbanding LWN 2023 yang hanya membabitkan enam buah pasukan pada awalnya sebelum ianya berkurangan kepada lima pasukan selepas LMS Tigress membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan tersebut.

“Liga bola sepak wanita ini jelas menunjukkan bahawa sukan ini memiliki potensi yang cerah jika terus diberikan peluang dan berada di landasan yang tepat.”

“Peningkatan dari segi penyertaan pasukan bagi musim 2024 kali ini juga mencerminkan populariti dan pengiktirafan kepada bola sepak wanita di negara kita.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mewujudkan ekosistem serta hala tuju bola sepak wanita bagi mencapai aras kecemerlangan sukan di Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa,” kata YB Hannah semasa Majlis Pelancaran LWN 2024 di Lalaport, Bukit Bintang City Centre, pada hari ini.

Selain daripada pertambahan penyertaan pasukan, LWN 2024 kali ini turut menggunakan format “home” dan “away” serta menggunakan stadium-stadium utama sebagai venue perlawanan seperti Stadium Darul Aman, Stadium Tun Abdul Razak, Stadium UiTM, Stadium Hang Tuah, Stadium Merdeka dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Bukan itu sahaja, wang ganjaran kepada pemenang serta geran penyertaan kepada pasukan yang bertanding turut ditingkatkan sepertimana disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob.

Pertembungan pembukaan LWN 2024 akan menemukan Kelana United FC menentang Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan sepak mula pada jam 4 petang.

Featured Image: FAM

Komen