ALP MFL Kurangkan Denda Selangor FC, Hormat Titah Sultan Selangor
June 27, 2024 Hafizuddin Omar

Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Malaysian Football League (MFL) menggunakan budi bicaranya bertindak mempertimbangkan semula hukuman ke atas Selangor FC ekoran tidak hadir ke perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan perlawanan pertama Liga Super 2024-25 pada 10hb Mei lalu.

Menerusi kenyataan yang disiarkan pada hari ini, ALP MFL memaklumkan pertimbangan ini juga dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj.

Antara pertimbangan yang dilalukan ALP MFL adalah mengurangkan denda daripada RM100,000 kepada RM60,000 dan membatalkan larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super Ke-14 melibatkan Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Selain itu, ALP MFL turut membatalkan pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-25 namun ianya diiringi dengan amaran sekiranya Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman lebih tegas dan keras boleh dikenakan.

Hanya hukuman bayaran pampasan kepada JDT dan MFL dikekalkan.

Pada masa yang sama, ALP MFL turut memberikan tempoh selama tiga hari kepada Selangor FC bermula hari ini (27hb Jun) untuk melakukan rayuan seperti termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-Kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.

Komen