“Itu Zaman KJ” Jawab Hannah Mengenai Isu Kelulusan Rekaan Pakaian Kontinjen Malaysia
June 27, 2024 Hafizuddin Omar

Setiap pemimpin mempunyai cara kepimpinan yang berlainan dan tersendiri.

Itu jawapan balas Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh kepada Khairy Jamaluddin mengenai isu kelulusan rekaan dan corak pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024.

Khairy atau terkenal dengan panggilan KJ merupakan Menteri Belia dan Sukan dari tahun 2013 hingga 2018. 

Semasa dalam sesi bual bicaranya, Keluar Sekejap, baru-baru ini, beliau sempat melemparkan kritikan secara sinis kepada Hannah memaklumkan bahwa semasa menjawat jawatan berkenaan, rekaan dan corak pakaian rasmi Kontinjen Malaysia untuk ke Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur diluluskan oleh Menteri Belia dan Sukan.

Namun begitu, Hannah, bagaikan ingin melepaskan tangan dan memaklumkan ianya di bawah tanggungjawab Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sepenuhnya dan bukannya di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) apabila rekaan dan corak pakaian rasmi Kontinjen Malaysia mendapat kritikan yang pelbagai daripada peminat sukan serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Saya juga telah tengok komen mantan Menteri Belia dan Sukan (KJ) yang memaklumkan masa zaman beliau, itu cara beliau, setiap pemimpin mempunyai cara kepimpinan yang berlainan,”

@keluarsekejap

Lawa tak guys baju yang @Khairykj masa recording Episod 111 #KeluarSekejap ni? Ada yang ingat zaman kegemilangan ini ke 👀 Dengar dan tonton episod ini di Youtube, Spotify & Apple Podcast jam 6 petang ini!

♬ original sound – Keluar Sekejap – Keluar Sekejap

“Untuk saya, saya hormati pemegang taruh kita, dan Majlis Olimpik Malaysia merupakan pemegang taruh yang utama bagi Kementerian Belia dan Sukan,”

“Dan saya mempunyai cara bekerja yang rapat dengan mereka, dan saya hormati mereka sebagai satu institusi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional 2024 di Lalaport, Bukit Bintang City Centre pada hari ini.

“Apabila saya menerima taklimat, saya dimaklumkan bahawa selama ini, zaman KJ, yang itu adalah zaman KJ, style (gaya) KJ, tetapi selepas itu, saya telah dimaklumkan Majlis Olimpik Malaysia memang mereka yang menentukan rekaan untuk jersi (pakaian rasmi),”

“Masalah ini (rekaan kurang menarik), komen-komen, kita telah dengar dan Tan Sri Norza telah dimaklumkan mengenai pandangan Kementerian Belia dan Sukan, saya percaya Majlis Olimpik Malaysia mampu menangani masalah ini dengan baik,”

“Kita kena hormati Majlis Olimpik Malaysia (dan) kontrak penajaan mereka dengan Yonex dan saya serahkan kepada Tan Sri Norza dan saya percaya beliau mampu untuk menyelesaikan (perkara ini),” tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, Hannah menegaskan isu mengenai rekaan kurang menarik pakaian rasmi Kontinjen Malaysia bukanlah kesilapan Ketua Kontinjen atau Chef de Mission (CDM), Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin.

Oleh demikian, adalah tidak munasabah untuk menggugurkan Hamidin selaku Ketua Kontinjen berikutan isu terbabit.

Jelas Hannah lagi, pakaian rasmi tersebut bukanlah pakaian yang akan digunakan oleh para atlet semasa acara perbarisan pada majlis pembukaan temasya Sukan Olimpik.

“Baju perbarisan kita sudah ada untuk atlet-atlet kita,” ujar Hannah.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen