Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri akan melakukan penampilan ketiganya di temasya Sukan Olimpik apabila dipilih untuk mengisi slot tambahan dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu di Paris, Perancis kelak.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) memilih atlet yang bakal menjengah usia 25 tahun pada 12hb Julai kelak untuk mengisi slot tambahan tersebut.
Slot tambahan itu diberikan oleh pihak badan induk bagi semua sukan akuatik, Akuatik Dunia (World Aquatics).
“Kami dengan bangganya mengumumkan bahawa kami telah memilih Nur Dhabitah Sabri sebagai penerjun untuk acara 3m papan anjal individu di Sukan Olimpik Paris 2024.” tulis kenyataan oleh MAS menerusi pelbagai platform media sosialnya.
Sebelum ini, Dhabitah terlepas peluang untuk meraih tiket secara merit ke temasya yang berlangsung setiap empat tahun sekali itu apabila mempamerkan aksi yang tidak memberangsangkan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar pada Februari lalu – kejohanan terakhir yang berfungsi sebagai kelayakan ke temasya Olimpik 2024.
Susulan terlepas tiket ke Sukan Olimpik tersebut, Dhabitah turut disingkirkan daripada program Road To Gold (RTG) namun kekal dalam program Podium selaku atlet elit negara.
Dhabitah yang juga merupakan penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini akan menemani penerjun lelaki muda negara yang berusia 19 tahun, Bertrand Rhodict – atlet pertama negara yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik secara merit – selaku atlet terjun bagi Kontinjen Malaysia.
Sebagai rekod, ini merupakan penyertaan ketiga Dhabitah di pentas Olimpik selepas menyertai temasya yang berlangsung di Rio dan Tokyo pada 2016 dan 2021 masing-masing.
Dalam temasya yang lalu, Dhabitah menamatkan acara 3m papan anjal individu di tempat keempat.
Featured Image: Malaysia Aquatics