Pesta Bola Merdeka 2024 Berlangsung Bulan 9 – Disertai Tajikistan, Lubnan & Filipina
July 1, 2024 Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pertandingan Pesta Bola Merdeka 2024 secara rasminya akan dilangsungkan dari 2hb hingga 10hb September kelak iaitu semasa Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Bukan itu sahaja, FAM selaku penganjur turut mengesahkan kehadiran tiga pasukan yang akan beraksi di pertandingan edisi kali ke-43 ini iaitu juara bertahan, Tajikistan, Lubnan dan Filipina selain Malaysia bimbingan Kim Pan-gon.

Untuk makluman semua, ketiga-tiga pasukan tersebut kini berada di ranking ke-102, ranking ke-117 dan ranking ke-147 dunia masing-masing. Manakala Malaysia berjulukan Harimau Malaya di ranking ke-135 dunia.

Format pertandingan sama seperti edisi yang lalu dimana keempat-empat pasukan ini akan diundi bagi menentukan lawan masing-masing pada perlawanan pertama iaitu Separuh Akhir 1 dan 2.

Pemenang bagi Separuh Akhir 1 dan 2 akan ke perlawanan akhir untuk merebut gelaran juara. Pasukan yang kalah pada peringkat Separuh Akhir 1 dan 2 itu pula akan ke perlawanan penentuan Tempat Ketiga.

Bagaimanapun, tarikh bagi majlis undian serta perlawanan Separuh Akhir 1 & 2, Perlawanan Akhir dan Penentuan Tempat Ketiga bagi Pesta Bola Merdeka 2024 belum diputuskan dan akan diberitahu dalam pengumuman lain.

Dalam edisi yang lalu, Tajikistan yang menyertai pertandingan ini selaku pengganti kepada Lubnan muncul juara selepas berjaya menumpaskan Malaysia 2-0 dalam perlawanan akhir.

Komen