Bertrand, Shazrin Dipilih Pembawa Jalur Gemilang Di Sukan Olimpik 2024
July 1, 2024 Hafizuddin Omar

Teka-teki mengenai pembawa Jalur Gemilang semasa Upacara Pembukaan Sukan Olimpik 2024 di Paris terjawab menerusi satu pengumuman yang dilakukan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada hari ini.

Menerusi pengumuman tersebut, MOM mengumumkan memberikan penghormatan kepada penerjun muda lelaki, Bertrand Rhodict Lises serta atlet pelayaran wanita, Nur Shazrin Mohamad Latif untuk membawa Jalur Gemilang ketika Kontinjen Malaysia berarak masuk pada pada upacara pembukaan itu nanti.

Menurut Presiden MOM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, pemilihan kedua-dua atlet tersebut mewakili atlet yang akan mencipta debut dan atlet berpengalaman di temasya Sukan Olimpik.

Terdahulu, Bertrand yang merupakan atlet berusia 19 tahun kelahiran Sarawak muncul atlet pertama negara yang melayakkan diri secara merit ke temasya berkenaan selepas berjaya ke pentas akhir acara 10 meter (m) platform lelaki di Kejohanan Akuatik Dunia pada Julai tahun lalu.

Bertrand menjadi atlet Sarawak keempat yang diberikan penghormatan untuk membawa Jalur Gemilang di temasya berkenaan selepas Kuda Ditta (Rome, 1962), Bryan Nickson (Athens, 2004) dan Dato’ Pandelela Rinong (London, 2012).

View this post on Instagram

A post shared by Olympic Council of Malaysia (@olympicmas)

Sementara itu, Shazrin kelahiran Johor yang akan membuat penampilan ketiganya di pentas Olimpik layak secara automatik selepas berjaya memenangi pingat emas dalam acara dinghy di Sukan Asia 2022.

Shazrin yang berusia 26 tahun menjadi atlet pelayaran pertama diberikan penghormatan untuk membawa Jalur Gemilang di temasya Olimpik.

Untuk makluman semua, setakat 1hhb Julai, Kontinjen Malaysia dianggotai seramai 25 atlet iaitu Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh, Nurul Azreena Mohd Fazil (memanah), Lee Zii Jia, Goh Jin Wei, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (Badminton), Nur Aisyah (basikal jalan raya), Dato’ Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati (basikal trek). 

Ia diikuti dengan Nur Dhabitah (terjun), Gavin Kyle Green (golf lelaki), Ashley Lau (golf wanita), Khairulnizam Mohd Affendy (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Khiew Hoe Yan, Tan Ruoxin (renang), Muhammad Aniq Kasdan (angkat berat) selain Bertrand dan Shazrin.

Sementara itu, seorang lagi atlet samada Muhammad Azeem Fahmi atau Shereen Samson Vallabouy yang diberikan slot universal untuk menyertai Sukan Olimpik akan ditentukan pada minggu ini.

Featured Image: Facebook Malaysia Aquatics

Komen