EURO 2024: Ronaldo, Mbappe Jejak Pentas Suku Akhir
July 2, 2024 β€’ Hafizuddin Omar

Penyerang veteran, Cristiano Ronaldo berpeluang untuk beraksi pada peringkat suku akhir di Kejohanan Eropah UEFA (EURO) sekali lagi apabila skuad kebangsaannya iaitu Portugal berhasil melakar kemenangan ke atas Slovenia pada pusingan 16, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Bagaimanapun, Ronaldo dan rakan-rakannya terpaksa bertarung selama 120 minit permainan tanpa sebarang jaringan terlebih dahulu sebelum memenangi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 3-0 ke atas pasukan yang menghuni ranking ke-57 dunia sebelum mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir tersebut.

Portugal memenangi penentuan sepakan penalti tersebut menerusi jaringan oleh Ronaldo sendiri serta Bruno Fernandes dan Bernardo Silva yang ditugaskan selaku penendang pertama kedua dan ketiga masing-masing.

Kemaraan Portugal ke peringkat suku akhir ini sekaligus mengatasi pencapaian skuad berjulukan Seleção yang sekadar mara setakat pusingan 16 pada edisi lalu.

Sementara itu, pada peringkat suku akhir kelak, Portugal akan berhadapan Perancis yang diketuai oleh Kylian Mbappe untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir.

Terdahulu, Perancis berhasil menjejakan kaki ke peringkat suku akhir selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Belgium, awal pagi tadi.

Kemenangan tipis itu disumbangkan menerusi jaringan sendiri pertahanan Belgium iaitu Jan Vertonghen pada minit 85’ yang tertampan bola sepakan pemain gantian, Randal Kolo Muani.

Featured Image: Facebook Seleçáes de Portugal

Komen