EURO 2024: Belanda, Turkiye Buat Perhitungan Peringkat Suku Akhir
July 3, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan Belanda akan bertembung Turkiye pada peringkat suku akhir Kejohanan Eropah UEFA (EURO) 2024 selepas berhasil membenam Romania dengan keputusan pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Belanda bimbingan Ronald Koeman mencatatkan kemenangan selesa tersebut menerusi gol oleh Cody Gakpo pada minit ke-20 serta jaringan berganda daripada Donyell Malen pada minit ke-83 dan ke-90+3 masing-masing.

Kemaraan itu sekaligus membuatkan Belanda mengatasi prestasinya dalam EURO edisi lalu yang sekadar mara setakat pusingan 16 sahaja.

Sementara itu, Turkiye yang dilatih Vincenzo Montella kelahiran Itali pula merakamkan kemaraan selepas mengalahkan Austria dengan keputusan 2-1.

Kedua-dua jaringan oleh Turkiye itu disumbangkan pertahanannya yang beraksi dalam saingan bola sepak Arab Saudi, Merih Demiral pada minit pertama dan minit ke-59 permainan.

Manakala jaringan saguhati daripada Austria pula dihasilkan oleh Michael Gregoritsch pada minit ke-66.

Sebagai rekod, ini merupakan kemaraan pertama selepas 16 tahun dilakar Turkiye ke peringkat suku dalam kejohanan utama yang disertainya.

Sebagai rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan ini berentap sesama sendiri adalah pada September 2021 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022.

Pertembungan itu dimenangi oleh Belanda dengan keputusan 6-1 hasil jaringan hatrik oleh Memphis Depay serta satu gol daripada Davy Klaassen, Guus Til dan Donyell Malen masing-masing.

Jaringan tunggal oleh Turkiye pula dihasilkan oleh Cengiz Under.

Featured Image: EURO 2024

Komen