Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan menyemak dan menentukan samada beberapa aspek dalam garis panduan perubatannya terutamanya protokol kecemasan akan diubah.
Ianya susulan kes kematian tragis pemain muda China, Zhang Zhi Jie ketika beraksi di Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) di Yogyakarta, Indonesia baru-baru ini.
Bagaimanapun, badan induk bagi sukan badminton dunia itu berkata perkara tersebut akan dilakukan selepas pihaknya selesai membuat penilaian terhadap kes tersebut.
Terdahulu, pemain berusia 17 tahun tersebut disahkan meninggal dunia pada jam 11.20 malam waktu tempatan selepas rebah di dalam gelanggang ketika mewakili negaranya menentang pemain Jepun dalam acara berpasukan campuran pada Ahad lalu.
Namun begitu, selepas kejadian, tular video mengenai insiden tersebut yang memperlihatkan pasukan perubatan lambat untuk masuk ke dalam gelanggang bagi memberikan bantuan kecemasan kepada Zhi Jie.
“Walaupun Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia di bawah bidang kuasa Badminton Asia, BWF mempunyai garis panduan dan arahan perubatan yang boleh digunakan oleh badan induk lain (serantau atau kebangsaan) bagi menganjurkan kejohanan yang diiktiraf oleh BWF.”
“Bagaimanapun, ianya terpulang kepada setiap badan induk untuk menentukan cara melaksanakan protokol perubatan dan amalan di tempat kejadian semasa menganjurkan sebarang kejohanan.”
“BWF sedang menantikan laporan rasmi daripada Badminton Asia dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan untuk menilai samada prosedur perubatan yang betul diikuti dalam memberikan bantuan kepada Zhang apabila dia rebah di dalam gelanggang.” demikian makluman daripada BWF dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada petang Selasa.
BAJC: Perseorangan Lelaki China Meninggal Dunia Selepas Rebah Ketika Menentang Jepun https://t.co/a7ndaE5SSj
— Sukanz. (@sukanzcom) July 1, 2024
“Menurut garis panduan, doktor kejohanan, di bawah arahan pengadil, mempunyai tanggungjawab untuk bertindak terhadap situasi kecemasan di dalam gelanggang, termasuk disyaki serangan jantung, dan dalam senario ini, untuk memberikan bantuan sehingga perkhidmatan perubatan yang khusus disediakan (sebagai contoh ambulans),”
“Apabila melaksanakan garis panduan ini, adalah ditekankan kesemua kakitangan perlu bersiap sedia sepanjang masa untuk bertindak memberikan bantuan perubatan yang diperlukan, termasuk kecemasan, secepat mungkin,”
“Apabila selesai penilaian kami, kami akan menentukan samada aspek tertentu daripada garis panduan ini perlu diubah,” ujar pihak BWF lagi.
Dalam kenyataan yang sama, BWF turut mengambil peluang untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Zhi Jie, rakan sepasukannya, Persatuan Badminton China (CBA) serta keseluruhan komuniti badminton China.