KOM Beri Tiket ‘Wild Card’ Kepada Azeem Fahmi Sertai Sukan Olimpik 2024
July 3, 2024 Hafizuddin Omar

Teka-teki mengenai atlet olahraga manakah yang akan diberikan tiket “wild card” tunggal untuk menyertai temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis akhirnya terjawab pada hari ini.

Menerusi satu sidang media yang dilangsungkan di Parlimen Malaysia, pada hari ini, Presiden KOM, YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim memutuskan untuk memberikan tiket tersebut kepada pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m), Muhammad Azeem Mohd. Fahmi.

Pengumuman itu sekaligus mengetepikan seorang lagi atlet olahraga wanita yang sering beraksi dalam acara 400m, Shereen Samson Vallabouy – yang turut berada dalam senarai pendek oleh Jawatankuasa Pemilihan KOM untuk diberikan tiket “wild card” ini.

Susulan pengumuman ini, Azeem, 20 tahun, yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan masa 10.09 saat (s) dalam acara 100m menjadi atlet ke-26 yang menyertai Kontinjen Malaysia ke Paris 2024. 

Dengan pengumuman ini, Azeem juga membuka peluang buat Azeem melakukan debut di temasya Sukan Olimpik buat julung kalinya dalam karier profesionalnya.  

Untuk makluman semua, Azeem terpaksa mengharapkan tiket “wild card” untuk beraksi di temasya Olimpik berikutan gagal mencatatkan larian di bawah tempoh 10 saat dalam mana-mana kejohanan olaharaga yang berfungsi sebagai medan kelayakan ke Sukan Olimpik 2024.

Featured Image: Sukan IPT

Komen