MB Selangor Serah Kutipan Tabung Solidariti Berjumlah RM76,490.06 Kepada Selangor FC
July 4, 2024 Hafizuddin Omar

Tabung Solidariti Bersama Selangor FC yang dilancarkan pada 26hb Jun lalu berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM76,490.06 sebelum ianya ditutup pada jam 11.59 malam pada 2hb Julai.

Jumlah keseluruhan yang terkumpul itu diserahkan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon dalam satu sesi penyerahan, semalam.

“Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyumbang kepada (Tabung) Solidariti Bersama Selangor FC.”

“Alhamdulillah kutipan berjumlah RM 76,490.06 telah diserahkan sepenuhnya kepada Selangor FC.”

“Kebersamaan ini adalah bukti semangat kita melawan ketidakadilan dan bersolidariti demi keadilan dalam sukan bola sepak.” kata Amirudin menerusi pelbagai platform media sosialnya. 

Sesi penyerahan sumbangan itu turut dihadiri oleh Exco Belia, Sukan & Keusahawanan, Mohd. Najwan Halimi.

Untuk makluman, tabung ini dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) untuk memberikan ruang kepada semua rakyat Malaysia dan para peminat sukan bola sepak merentasi batas kenegerian untuk menzahirkan dukungan kepada Selangor FC susulan keputusan tidak adil dan bersifat penindasan yang dijatuhkan oleh Malaysian Football League (MFL).

Sebagai tambahan, pada ketika ini, Selangor FC bimbingan Nidzam Jamil dikenakan hukuman denda sebanyak RM60,000 serta pembayaran pampasan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sekretariat MFL ekoran tidak hadir ke perlawanan merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah bersekali dengan perlawanan pertama Liga Super 2024-25 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 10hb Julai lalu.

Featured Image: Facebook Amirudin Shari

Komen