Kelab yang menjuarai saingan divisyen pertama England sebanyak 20 kali, Manchester United (Man Utd) akan terus menggunakan khidmat Erik Ten Hag bagi tempoh dua musim berikutnya.
Ini selepas kelab berjulukan The Red Devils mengesahkan melanjutkan kontrak pengurus kelahiran Belanda yang berusia 54 tahun tersebut sehingga Jun 2026.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan oleh pihak kelab, Ten Hag yang mula bertugas bersama kelab berkenaan sekitar Mei 2023 berasa gembira dapat mencapai persetujuan untuk terus bekerjasama dengan Man Utd.
Tambah Ten Hag, dirinya dan kelab jelas masih terdapat banyak kerja keras perlu dilakukan untuk mencapai tahap yang dijangka untuk Man Utd iaitu mencabar kejuaraan liga inggeris serta eropah.
Sebagai rekod, sepanjang membimbing Man Utd, Ten Hag berhasil menghadiahkan dua trofi buat Man Utd iaitu Piala Liga 2022-23 dan terbaharu, Piala FA 2023-24.
Sementara itu, Pengarah Sukan Man Utd, Dan Ashworth pula menyifatkan kejayaan Ten Hag menghadiahkan dua trofi tersebut buat Man Utd mengukuhkan lagi rekodnya sebagai salah seorang jurulatih yang konsisten dengan kejayaan di eropah.
Pada masa yang sama, Ashworth berkata setelah kelab menilai beberapa aspek yang perlu ditekankan untuk penambahbaikan daripada persembahan musim lalu, kelab mencapai rumusan yang jelas bahawa Ten Hag adalah calon yang terbaik untuk bekerjasama bagi memacu tahap dan hasil yang lebih baik.
Untuk musim berikutnya, Man Utd bimbingan Ten Hag akan membuka saingan Premier League dengan menentang Fulham pada 17h Ogos kelak.
Featured Image: Manchester United