Ketua Kontinjen atau Chef de Mission (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin menasihatkan para atlet yang akan ke Sukan Olimpik 2024 dalam tempoh kurang tiga minggu lagi agar menitikberatkan hal kesihatan.
Pada masa yang sama, Hamidin yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut menasihatkan agar atlet-atlet berhati-hati semasa menjalani sesi latihan dan tidak mencederakan diri sebelum terbang ke kota Paris.
Hamidin memberikan nasihat tersebut susulan kemalangan yang menimpa atlet berbasikal jalan raya, Nur Aisyah Mohd. Zubir ketika beraksi dalam satu perlumbaan di Belgium, baru-baru ini.
“Kalau kita lihat sebelum pertandingan (bermula), atlet ini ingin memberikan yang terbaik, sebelum kejohanan bermula di (Sukan) Olimpik. Jadi, mereka memberikan komitmen yang tinggi, sama (juga) atlet lain (seperti) Lee Zii Jia, Datuk Azizulhasni dan lain-lain,”
“Kecederaan ni kadang-kadang tak dapat dielakkan, tetapi nasihat saya kepada atlet kita ada 17 hari lagi, kita harap mereka dapat menjaga kesihatan ataupun berhati-hati sikit dalam latihan sebelum bermulanya (Sukan) Olimpik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Samsonite selaku Penaja Bagasi Rasmi untuk Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.
“Kalau tidak nanti kita kerugian pula, sebelum kejohanan bermula dan kita tak dapat bermain, jadi, mereka akan lebih berhati-hatilah untuk kali ini,” tambahnya lagi.
Terdahulu, menurut laporan media tempatan, Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan Nur Aisyah terlibat dalam satu kemalangan sekitar pertengahan bulan lalu.
Bagaimanapun, pelumba dari kelahiran Kemaman, Terengganu itu telah pulih sepenuhnya serta menyertai beberapa perlumbaan yang lain selepas daripada itu.
Sementara itu, Hamidin turut menjangkakan bilangan 26 orang atlet negara yang akan berentap ke Sukan Olimpik bermula 26hb Julai hingga 11hb Ogos kelak sebagai muktamad tidak akan ada penambahan lagi.