Bubbles O2 Taja MSN Hingga 2027 – Bernilai RM700,000 Setahun
July 9, 2024 Hafizuddin Omar

Pengeluar air mineral semulajadi beroksigen, Bubbles O2 tampil menyediakan tajaan bernilai sekitar RM700,000 setahun kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyokong kesihatan dan prestasi atlet serta komuniti sukan di Malaysia.

Penajaan itu merangkumi wang tunai serta produknya bagi tempoh tiga tahun bermula dari 2024 hingga 2027.

Perkembangan itu hadir susulan Bubbles O2 dan MSN mengumumkan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoA) di Dewan Banquet Casa 4 MSN, Bukit Jalil, pada hari ini.

Hasil pemeteraian memorandum ini, Bubbles O2 dinamakan sebagai Rakan Kongsi Air Mineral Beroksigen Rasmi untuk acara, aktiviti, dan program yang dianjurkan oleh MSN.

Perkongsian ini juga membolehkan Bubbles O2 berhubung secara mendalam dan terus dengan komuniti sukan, sejajar dengan matlamat mereka untuk mempromosikan gaya hidup yang aktif dan sihat.

Pada masa yang sama, perkongsian itu juga selaras dengan komitmen Bubbles O2 untuk mempromosikan gaya hidup aktif dan sihat melalui produk air mineral yang diperkaya dengan oksigen.

Bubbles O2 bukanlah satu jenama yang asing dalam arena sukan tempatan dengan terlibat dalam pelbagai sukan seperti permotoran, besbol, bola sepak, maraton, golf, ragbi dan lain lagi.

Penglibatan Bubbles O2 dalam industri sukan di Malaysia bermula dengan menaja pasukan perlumbaan, Petronas Yamaha CKJ diikuti dengan Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) untuk SUKMA XX, i-Run Balik Pulau Marathon, Litar Antarabangsa Petronas Sepang, Malaysian Football League (MFL), Liga Besbol Kebangsaan (NBL), Kelab Bola Sepak Junior Bangi (KBJB) dan pasukan ragbi PDRM.

Selain itu, Bubbles O2 turut menyediakan air mineral sepanjang lapan hari untuk Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 serta menaja Anugerah Most Combative Rider di perlumbaan tersebut.

Komen