Berbaki 50 hari sebelum berlangsungnya temasya Paralimpik Paris 2024, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tampil melancarkan (Official Leisure Outfit) dan memperkenalkan Pakaian Santai Rasmi untuk Kontinjen Para Negara, semalam.
Sesi pengenalan yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandang tersebut menyaksikan atlet-atlet para tampil menggayakan jaket, seluar, baju-t kolar bulat, baju-t berkolar serta topi ‘bucket’.
Pakaian-pakain tersebut hadir dengan warna putih sambil dihiasi dengan corak berbelang harimau yang diserikan warna-warna yang diinspirasikan daripada Jalur Gemilang iaitu biru, kuning, merah serta putih kekelabuan.
Tinjauan di pelbagai akaun media sosial milik MPM, rekaan pakaian santai rasmi yang difahamkan dihasilkan oleh sebuah syarikat tempatan yang tidak dinamakan itu mendapat pujian menggunung oleh orang ramai.
“Segak sangat, semoga berjaya team Malaysia,” tulis Masliza Maaris.
“Lawa betul,” puji Raher Osman.
“Mantap! Belum lawan dah bangga. Atlet para lebih padu daripada atlet biasa,” tulis Dzulhaidy Abdul Rahim.
“Love the outfit and love the spirit of our athletes more. All the best and enjoy the game.” komen Alison Wong Tze Yeen.
“Class. Smart. Spirit.” ujar Muqayyum Saupi secara ringkas.
Selain pujian terhadap rekaan pakaian tersebut, terdapat juga kalangan orang ramai yang melontarkan cadangan agar pakaian-pakaian tersebut dibuka untuk jualan.
Bahkan terdapat juga yang mencadangkan agar hasil jualan itu dimasukkan semula ke dalam kantung MPM supaya ianya dapat memanfaatkan atlet-atlet para negara.
Dalam majlis yang sama, Presiden MPM, Dato’ Sri Megat D Shahriman memaklumkan Kontinjen Para Negara akan terbang ke Paris dengan jangkaan disertai oleh 29 orang atlet – terbesar dalam sejarah pembabitan Sukan Paralimpik setakat ini – sambil meletakkan jangkaan untuk memungut empat keping pingat emas.
Pada majlis itu juga, Setiausaha Agung MPM iaitu Laksamana Pertama Dato’ Subramaniam Raman Nair (B) diumumkan sebagai Ketua Kontinjen atau Chef de Mission (CDM) Kontinjen Para Negara ke Paris 2024.
Ianya turut disusuli dengan pelancaran lagu tema, Luar Biasa (Kita Juara) yang dihasilkan oleh TS. Rullah @ Ash & Affendi Mohd Dilif dengan kerjasama Scotieg Entertainment selaku rakan strategik – dicipta untuk memberi inspirasi kepada atlet para yang akan menyertai Sukan Paralimpik bermula 28hb Ogos hingga 8hb September kelak.
Featured Image: Paralympic Council Malaysia