England Lakar Kemaraan Ke Pentas Akhir Euro 2 Kali Berturut-Turut
July 11, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad kebangsaan England bimbingan Gareth Southgate berjaya mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Kejohanan Eropah UEFA (EURO) 2024 selepas menumpaskan Belanda dengan penuh dramatik, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Pasukan berjulukan The Three Lions melakar kemaraan itu hasil jaringan pada penghujung perlawanan oleh pemain gantian iaitu Ollie Watkins pada minit ke-90.

Sebelum itu, pertembungan antara England dan Belanda di Signal Iduna Park terikat 1-1 hasil sepakan penalti oleh Harry Kane pada minit ke-18 dan gol oleh pemain berusia 21 tahun, Xavi Simons seawal minit ke-7.

Kemenangan itu membolehkan mereka mara ke pentas akhir EURO dua kali berturut-turut selepas mara pada edisi lalu yang berlangsung pada tahun 2021.

Sebagai rekod, England muncul pasukan keempat yang mara dua kali berturut-turut di kejohanan ini selepas dilakukan oleh USSR (1960 & 1964), Jerman (1972 & 1976, 1976 & 1980, 1992 & 1996) serta Sepanyol (2018 & 2012).

Selain itu, ini merupakan kali kedua England mara ke pentas akhir EURO dalam sejarah pembabitannya selepas julung kali mara pada edisi lalu sebelum ditewaskan Itali menerusi penentuan sepakan penalti.

Pada perlawanan akhir nanti, England akan bertemu Sepanyol untuk merebut gelaran juara EURO 2024.

Sepak mula perlawanan tersebut dijadualkan pada jam 3 pagi, awal pagi Isnin (15hb Julai) wak tu Malaysia dan mengambil tempatnya di Olympiastadion Berlin.

Featured Image: Facebook England National Team

Komen