Atlet-atlet yang akan bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Paralimpik Paris 2024 akan menerima sebuah telefon pintar Samsung Galaxy z Flip6 Edisi Olimpik bagi setiap seorang.
Telefon pintar boleh-katup edisi khas itu didedahkan semasa pelancaran rasmi Samsung Galaxy Z Flip6 semalam.
Galaxy Z Flip 6 Edisi Olimpik berkenaan hadir dalam warna serba kuning serta diserikan logo gegelung Olimpik dan logo “agitos” Paralimpik berwarna emas.
Ianya turut disertakan dengan kerangka luaran khas bertemakan Olimpik, Flipsuit Case, yang direka oleh Berluti – pereka pakaian rasmi Kontinjen Perancis untuk upacara pembukaan Paris 2024.
Ianya diperbuat daripada kulit disertakan “patina” unik dengan campuran warna insprasi daripada gegelung Olimpik – biru, kuning, hitam, hijau dan merah.
Bagi membantu atlet-atlet memantau jadual waktu pertandingan dan memudahkan perjalanan di sekitar venue-venue Olimpik, Galaxy Z Flip6 Edisi Olimpik ini akan tersedia dengan aplikasi-aplikasi rasmi daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) seperti Athlete 365, Olympic Shop, Paris 2024, Transport Accred App serta IOC Hotline.
Samsung turut memaklumkan Galaxy Z Flip6 Edisi Olimpik ini merupakan telefon pintar edisi olimpik pertama yang hadir dengan ciri Galaxy Ai.
Buat julung kalinya dalam sejarah Olimpik dan Paralimpik, Samsung akan menyediakan Galaxy Z Flip6 Edisi Olimpik untuk digunakan oleh para atlet semasa menaiki podium di Paris 2024 untuk berswafoto.
Untuk makluman semua, Samsung akan memberikan Galaxy Z Flip6 Edisi Olimpik kepada hampir 17,000 orang atlet yang akan beraksi di kedua-dua temasya yang diadakan setiap empat tahun sekali berkenaan.
Telefon-telefon edisi khas ini akan diberikan kepada para atlet Olimpik dan Paralimpik bermula dari 18hb Julai kelak dan ianya tidak dijual kepada umum.