Sasaran Azeem di Olimpik: Catat Masa Terbaik Musim Ini Atau Pecah Rekod 10.09s
July 11, 2024 Hafizuddin Omar

Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi yang ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan tiket “wild card” meletakkan sasaran untuk melakukan catatan masa terbaik bagi musim ini atau memecahkan rekod peribadinya.

Rekod terbaik bagi atlet berusia 20 tahun yang menuntut di Universiti Auburn, Alabama dalam acara 100 meter (m) adalah 10.09 saat (s) dilakukannya di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2022 di Cali, Colombia.

“Sasaran saya adalah untuk mendapatkan catatan masa peribadi terbaik bagi musim ini atau mungkin apa-apa boleh jadi, kalau saya dapat ulang gaya larian 10.09s saya mungkin akan ada rekod kebangsaan baharu,” katanya ketika ditemui di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil hari ini.

Sepanjang tahun ini, catatan masa terbaik dilakukan oleh Azeem adalah 10.36s – perbezaan sebanyak 0.27s berbanding rekod terbaiknya – ketika menyertai Kejohanan Olahraga SEC 2024 di Gainesville, Florida pada Mei lalu.

Sementara itu, kejohanan terakhir yang disertainya dalam acara 100m adalah di Sukan Universtiti ASEAN (AUG) 2024 pada 2hb Julai lalu.

Dalam perlumbaan tersebut, Azeem meraih tempat kedua dan memungut pingat perak dengan catatan masa larian 10.37s.

Tempat pertama dan kilauan pingat emas pula diraih oleh seterunya berusia 24 tahun dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri dengan catatan masa 10.19s.

Sebagai tambahan, Azeem dijangka berlepas dari tanah air untuk terbang ke Paris pada 25hb atau 26hb Julai – bergantung kepada perincian yang akan dimuktamadkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam masa terdekat.

Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 akan membuka tirainya pada 26hb Julai.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen