Sekitar penghujung April lalu, penganjur saingan bola sepak tempatan iaitu Malaysian Football League (MFL) mengesahkan pelaksanaan “Financial Fair Play” (FFP) dalam saingan Liga Malaysia bermula musim 2024-25 dan musim seterusnya.
Bagaimanapun, pengumuman tersebut tidak disertakan dengan apa-apa perincian atau penjelasan tentang pelaksanaannya kepada umum khususnya peminat bola sepak tanah air.
MFL hanya berkongsikan bahawa tahun pertama pelaksanaan FFP dalam Liga Malaysia sebagai tahun pengenalan untuk memantau pembayaran gaji pemain dan pegawai yang menjadi isu utama dihadapi dalam liga serta meningkatkan tanggungjawab kelab dalam memastikan kestabilan kewangan yang kukuh.
Selepas hampir tiga bulan, MFL tampil memaklumkan perkembangan baharu mengenai pelaksanaan FFP pada hari ini – selepas menganjurkan bengkel FFP pada 10hb Julai lalu.
Menurut MFL, proses pertama pelaksanaan FFP bagi musim ini adalah kesemua kelab perlu menghantar dokumen kewangan sebelum 16hb Julai bagi tujuan semakan oleh Unit FFP MFL untuk dihantar kepada FFP FIB (First Instance Body).
“Jika terdapat kelab yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan maka FFP FIB boleh mengambil tindakan berdasarkan Peraturan FFP MFL Edisi 2024-2025 yang telah diberikan kepada semua kelab pada 15 April 2024.” tulis perkongsian oleh badan penganjur tersebut.
Bercakap mengenai bengkel yang diadakan pada 10hb Julai lalu, MFL memberitahu bahawa Pengerusi FIB, Sheikh Mohd. Nasir Sheikh Mohd. Sharif memberikan penerangan berkenaan objektif penubuhan peraturan FFP MFL dalam memberikan kesan positif kepada kawalan kewangan kelab-kelab Liga Malaysia.
Featured Image: Malaysian Football League