Liga Super: KL City Lebur Rekod Tanpa Kalah Selangor FC
July 14, 2024 Hafizuddin Omar

Selangor FC belum merekodkan sebarang kekalahan sejak melakar kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC pada aksi kedua dalam saingan Liga Super 2024-25.

Ianya diikuti dengan kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC dan Perak FC pada aksi ketiga dan keempat liga masing-masing.

Namun begitu, rekod tersebut lebur apabila bertemu skuad berpangkalan di ibu kota, KL City pada aksi kelima liga pada malam ini.

Pertembungan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu menyaksikan KL City bimbingan Miroslav Kuljanac berjaya meraih kemenangan 1-0 hasil jaringan Jovan Motika pada minit ke-63.

Selepas jaringan daripada pemain sayap Bosnia itu, skuad berjulukan Red Giants menggandakan asakan untuk memburu jaringan penyamaan. 

Akan tetapi, kekentalan barisan pertahanan yang dibarisi Declan Lambert, Adrijan Rudovic, Giancarlo Gallifuoco serta Anwar Ibrahim yang masuk sebagai pemain gantian serta kekebalan Azri Ghani menagawal gawang menggagalkan usaha berkenaan.

Hasilnya, kedudukan perlawanan yang disaksikan oleh 4,248 orang itu berkekalan sehingga pengadil perlawanan, Muhammad Usais Jamal meniup wisel menamatkan permainan.

Sebagai rekod, ini kemenangan pertama dilakar KL City  ke atas Selangor FC selaku seterunya selepas kali terakhir melakukannya pada suku akhir Piala Malaysia 2021.

Komen