Sepanyol Muncul Juara EURO 2024 – Raih Sekitar RM143 Juta
July 15, 2024 Hafizuddin Omar

Kejuaraan bagi Kejohanan Eropah UEFA (EURO) edisi ke-17 menjadi milik Sepanyol bimbingan Luis de la Fuente selepas menundukkan England pada perlawanan akhir di Olympiastadion, Berlin awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Sepanyol atau nama julukannya La Roja merangkul gelaran itu dengan dramatik menerusi jaringan kemenangan oleh pemain Real Sociedad, Mikel Oyarzabal pada penghujung perlawanan.

Sebelum itu, Sepanyol mula mendahului perlawanan tersebut melalui jaringan pemain Athletic Bilbao, Nico Williams pada awal separuh masa kedua iaitu pada minit ke-47.

Selang 26 minit kemudian, England bimbingan Gareth Southgate berhasil menyamakan kedudukan apabila penyerang Chelsea, Cole Palmer merembat masuk bola dari luar kotak penalti melepasi gol yang dikawal oleh Unai Simon.

Sebagai rekod, kemenangan ini menjadi Sepanyol kini merangkul empat gelaran EURO selepas menjuarainya pada edisi tahun 1964, 2008 dan 2012.

Selain itu, hasil daripada meraih kejuaraan ini, Sepanyol dapat membawa pulang wang tunai berjumlah sekitar RM143 juta (€28.25 juta) secara keseluruhan dan pecahannya adalah seperti berikut:

  • Yuran penyertaan: €9.25 juta
  • Bonus perlawanan: €1 juta untuk kemenangan & €500,000 untuk seri
  • Layak ke Pusingan 16: €1.5 juta
  • Layak ke Suku Akhir: €2.5 juta
  • Layak ke Separuh Akhir: €4 juta
  • Juara EURO 2024: €8 juta

Sementara itu, England menelan hakikat yang pahit apabila terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara dua kali secara berturut-turut dan masih tidak berpeluang untuk menjulang trofi EURO sehingga ke hari ini.

Pada edisi lalu, England merangkul gelaran naib juara susulan tewas penentuan sepakan penalti kepada Itali dalam perlawanan akhir yang berlangsung di tempat sendiri, Wembley Stadium.

Featured Image: UEFA

Komen