Argentina Rangkul Kejuaraan Copa America Ke-16 – Hasil Gol Lautaro Martinez
July 15, 2024 Hafizuddin Omar

Gelaran juara Copa America edisi ke-48 menjadi milik Argentina kendalian Lionel Scaloni selepas Lautaro Martinez menyumbat bola masuk ke dalam gawang Colombia pada minit ke-112.

Jaringan itu terhasil menerusi satu rembatan deras oleh penyerang Inter Milan itu dari sebelah kanan selepas menerima suapan bola daripada Giovani Lo Celso. 

Colombia bimbingan Nestor Lorenzo yang merupakan kelahiran Argentina ternyata tiada jawapan balas terhadap jaringan tersebut sekaligus terpaksa akur dengan kekalahan tersebut sekaligus menamatkan kempen selaku naib juara.

Sebagai rekod, satu-satunya kenangan Colombia berjulukan Los Cafeteros menjulang kejuaraan Copa America adalah pada edisi yang berlangsung tahun 2001. 

Sementara itu, gelaran juara yang dirangkul oleh Argentina di Stadium Hard Rock, Florida terbabit menjadikan skuad La Albiceleste kini telah merangkul gelaran Copa America sebanyak 16 kali dalam sejarahnya.

Menurut laporan media antarabangsa, sang juara iaitu Argentina akan membawa pulang wang tunai berjumlah sekitar RM74 juta (AS$16 juta) manakala Colombia pula meraih sekitar RM32 juta (AS$7 juta).

Untuk makluman semua, kemenangan Argentina pada hari ini juga menjadikan mereka mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada tahun 2021 dengan menumpaskan Brazil di Stadium Maracana.

Featured Image: AFA – Seleccion Argentina

Komen