Jenama minuman bercoklat yang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia, Milo dipilih menjadi Rakan Minuman Coklat Rasmi bagi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Kehadiran Milo selaku rakan rasmi Kontinjen Malaysia itu diperkenalkan dalam satu majlis pengenalan yang berlangsung di Muzium Sukan & Dewa Kemasyhuran MOM pada hari ini.
Majlis pengenalan itu dihadiri oleh Setiausaha Agung MOM, Dato’ Mohd Nazifuddin dan Pengurus Pemasaran Produk Sukan Nestle, Lim Kerwin.
Selaku rakan rasmi, antara sokongan atau penajaan yang diberikan oleh Milo kepada Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 26 orang atlet dan 40 orang pegawai adalah menyediakan Milo dalam bentuk pek sachet.
Difahamkan, ianya bagi memudahkan para atlet dan pegawai Kontinjen Malaysia membawanya ketika terbang ke sana selain memudahkan mereka menyediakan minuman bertenaga sepanjang berada di temasya berkenaan.
Pada masa yang sama, syarikat induk Milo iaitu Nestle akan turut menyediakan mi segera, Maggi dan kopi segera iaitu Nescafe kepada anggota-anggota Kontinjen Malaysia.
Dimaklumkan, produk-produk itu juga akan diberikan kepada para pengamal media tempatan yang akan bertugas membuat liputan di sana.
Sebagai rekod, kolaborasi dan penajaan Milo bersama MOM bukanlah sesuatu perkara baharu memandangkan ianya telah berlangsung hampir tujuh dekad yang lalu sejak Malaysia atau Malaya menyertai Sukan Olimpik 1956.
Pada ketika ini, kolaborasi Milo bersama MOM adalah sehingga penghujung tahun 2028 dimana Milo menyediakan sokongan kewangan dan produk kepada Kontinjen Malaysia untuk menyertai pelbagai temasya sukan.