Era Kim Pan-Gon Sudah Berakhir
July 16, 2024 Hafizuddin Omar

Individu yang bernama Kim Pan-Gon kelahiran Korea tidak lagi berperanan sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan negara atau nama julukannya Harimau Malaya.

Ini berikutan jurulatih berusia 55 tahun tersebut meletakkan jawatannya selaku pengendali skuad kebangsaan berkuat kuasa serta-merta bermula saat ini.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Pan-gon atas alasan komitmen peribadi dalam sidang media khas di Wisma FAM, pada hari ini.

Sebagai rekod, FAM mengumumkan perlantikan Pan-gon sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan sekitar penghujung Januari 2022 bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe.

Penyertaan Pan-gon turun diiringi oleh beberapa individu pilihannya bagi mengisi barisan staf kejurulatihan Harimau Malaya.

Antaranya Pau Marti (penolong ketua jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi) dan Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan).

Sejak mengendalikan Harimau Malaya, Pan-gon berjaya memacu Malaysia menduduki ranking ke-130 dunia (terbaik dalam tempoh 17 tahun) berbanding ketika beliau mula bertugas – rankinh ke-154 dunia.

Kejayaan paling besar pastinya membimbing Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas 42 tahun.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen