Pengasas Senheng Sumbang RM1 Juta Jika Aaron, Wooi Yik & Tang Jie Menang Emas Olimpik 2024
July 17, 2024 Hafizuddin Omar

Wang tunai sebanyak RM1 juta menanti tiga pemain badminton negara iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie sekiranya berjaya merangkul pingat emas di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, sumbangan peribadi itu dijanjikan oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Berhad (Senheng), Lim Kim Heng.

Dimaklumkan, sekiranya ada lebih daripada satu pemenang, wang tunai itu akan dikongsikan sama.

Untuk makluman, ketiga-tiga pemain tersebut pernah berada di bawah Program Bakat Badminton SS dari tahun 2012 hingga 2016 – sebuah program yang disokong oleh Senheng.

Sejak penubuhan program itu, Senheng telah menyokong ketiga-tiga pemain tersebut dengan menampung perbelanjaan latihan, penginapan serta makan minum mereka.

“Saya sangat teruja untuk mengumumkan ikrar peribadi sebanyak RM1,000,000 wang tunai kepada pemain badminton Malaysia pertama daripada Program Bakat Badminton SS untuk mencapai pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.”

“Ganjaran ini adalah mengulangi kepercayaan saya terhadap bakat dan dedikasi atlet kita yang telah muncul daripada program ini daripada sekumpulan 20 orang sejak tahun 2012.”

“Harapan saya agar insentif ini bukan sahaja dapat memotivasikan mereka untuk mencapai prestasi terbaik, tetapi juga dapat mengukuhkan semangat perpaduan dan berkongsi tujuan untuk melakar kejayaan bersejarah buat Malaysia.” kata Lim Kim Heng.

Untuk makluman semua, Aaron dan Wooi Yik yang merupakan beregu lelaki No.1 negara akan memulakan kempen Sukan Olimpiknya dalam Kumpulan A menentang gandingan No.1 dunia iaitu Liang Wei Keng & Wang Chang serta Ben Lane (England) & Sean Verdey dan Dong Adam & Nyl Yakura (Kanada).

Sementara itu, Tang Jie yang bergandingan dengan Toh Ee Wei beraksi dalam kategori beregu campuran pula diundi bersama-sama beregu No.2 dunia iaitu Feng Yan Zhe & Huang Dong Ping (China), Terry Hee Yong Kai & Jessica Tan Wei Han (Singapura) serta Vinson Chiu & Jennie Chai (Amerika Syarikat) dalam Kumpulan D.

Pertandingan badminton di Sukan Olimpik akan bermula dari 27hb Julai hingga 5hb Ogos bertempat di Porte de la Chapelle Arena.

Featured Image: Facebook Hannah Yeoh

Komen