RTM Siar Siaran Langsung Sukan Olimpik Paris 2024 Secara Percuma
July 17, 2024 Hafizuddin Omar

Sukan Olimpik Kali Ke-33 yang berlangsung di Paris bermula 26hb Julai hingga 11hb Ogos kelak akan dapat ditonton secara percuma oleh rakyat Malaysia menerusi saluran televisyen milik Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman tampil mengesahkan perkara berkenaan menerusi satu video pendek yang dikongsikan di akaun X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) peribadinya, pada hari ini.

“Sekadar berkongsikan berita baik dengan kamu semua, RTM adalah penyiar rasmi Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya menerusi video berdurasi selama 45 saat ketika dalam perjalanan menuju ke Bangkok, Thailand.

Menerusi akaun X peribadinya itu juga, Suhaimi turut memuat naik klip video pengenalan berdurasi 10 saat yang memaparkan RTM selaku Penyiar Rasmi (Official Broadcaster).

“RTM akan siar Olimpik Paris 2024 secara PERCUMA!!”

“Betul-betul percuma” tulis kapsyen daripada akaun X rasmi RTM Malaysia.

Bukan itu sahaja, stesyen televisyen milik kerajaan itu juga menekankan bahawa mereka akan menyiarkan temasya Olimpik 2024 secara langsung.

Bagaimanapun, tiada sebarang perincian mengenai saluran manakah yang akan digunakan oleh RTM untuk menyiarkan temasya yang berlangsung sekitar dua minggu dan setengah itu.

Malahan mereka juga belum berkongsikan sebarang perincian mengenai sukan atau venue pertandingan manakah yang akan disiarkan serta program-program iringan sepanjang Sukan Olimpik 2024.

Komen