Jumlah penyokong skuad berpangkalan di ibu kota iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam tempoh tiga ke empat tahun lalu tidak banyak bezanya biarpun telah mencipta sejarah menjulang trofi Piala Malaysia selepas lebih tiga dekad pada tahun 2021 serta mara ke perlawanan akhir Piala AFC 2022.
Ini dapat disaksikan dengan kehadiran penyokong KL City semasa perlawanan “home” di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi mana-mana pertandingan baik Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia mahupun Piala AFC pada msuim 2022.
Kehadiran penyokong yang tidak ramai menyebabkan KL City tidak dapat menjana keuntungan yang banyak daripada jualan tiket pada hari perlawanan sekaligus menyebabkan isu-isu kewangan yang melanda tidak dapat diselesaikan sehingga ke hari ini – termasuk tunggakan gaji kepada para pemainnya.
Namun begitu, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad merangkap Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan tampil menggerakkan satu solusi untuk membantu masalah tersebut menerusi parti politik yang disertainya.

“Bagi Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan, kita telah membuat keputusan bahawa pemuda (sayap parti) akan membina atau membentuk kelab penyokong di setiap kawasan untuk pasukan bola sepak KL City FC.” katanya dalam satu sidang media di Ampang, semalam.
Pada masa yang sama, beliau turut meminta agar Ahli-Ahli Parlimen di Kuala Lumpur membiayai tiket-tiket buat ahli-ahli bagi kelab-kelab penyokong tersebut untuk hadir menyaksikan perlawanan membabitkan skuad berjulukan The City Boys di Cheras.
“Bagi setiap game (perlawanan) di dalam semua kawasan, kita akan minta sumbangan daripada MP-MP (Members of Parliament) untuk mendapatkan tiket-tiket daripada KLFA dan KL City FC untuk nak hadir di dalam stadium untuk meramaikan (penyokong),”
“Ini pun satu pendekatan untuk bekerjasama atau mendapat sokongan daripada golongan muda yang berminat dengan bola sepak,”
“Amanah akan mulakan dan kita harapkan PKR (Parti Keadilan Rakyat), DAP (Parti Tindakan Demokrasi), UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) dan lain-lain pun semua akan buat supaya kehadiran penyokong ke (Stadium Bola Sepak) Kuala Lumpur adalah satu kehadiran yang munasabah,” jelasnya lagi.

Menurut Khalid yang juga mantan Menteri Wilayah Persekutuan melontarkan cadangan atau menggerakkan usaha ini selepas melihat kehadiran penonton di Stadium Cheras pada Ahad lalu sekitar 4,248 orang ketika bertemu seteru setempat, Selangor FC didominasi oleh penyokong-penyokong skuad berjulukan Red Giants terbabit.
“Oleh kerana sudah berpuluh tahun (KL City) tidak mencapai satu pencapaian yang membanggakan maka dah kurang (penyokong),
“Jadi, kita nak bina balik, dan cara yang kita nak bina balik itu kita boleh manfaatkan parti politik, manfaatkan persatuan-persatuan belia dan sebagainya tapi yang penting MP-MP kena ada kesedaran untuk nak biayai sebahagian daripada kos tiket,”
“Pada masa yang sama, MP-MP itu akan mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan golongan muda yang berminat dengan bola sepak,” tambahnya.

Difahamkan, pada ketika ini, perkara tersebut telah dimulakan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa merangkap Menteri Sumber Ahli dan Kelestarian Am, YB Nik Nazmi Nik Ahmad.
Usaha itu dilakukan dengan mengajak penyokong-penyokong kelab bola sepak yang dinaunginya, Setiawangsa Rangers untuk hadir menyaksikan perlawanan melibatkan KL City di Stadium Cheras.
Untuk makluman semua, Khalid kini tidak lagi berperanan sebagai Presiden KLFA selepas ‘ditekan’ oleh individu yang tidak dinamakan untuk meletakkan jawatannya agar dana daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masuk ke kantung KLFA – pemilik majoriti KL City FC.
Bagaimanapun, selepas meletakkan jawatan sekitar pertengahan Mac lalu, dana yang diperkatakan tetap tidak masuk ke dalam kantung KLFA dan masalah kewangan yang melanda termasuk tunggakan gaji pemain-pemain KL City masih tidak selesai.