Kelab bola sepak komuniti yang berpangkalan di Kemaman, Terengganu iaitu Kerteh FC akan melancarkan sebuah aplikasi digitalnya yang tersendiri pada Ogos kelak.
Difahamkan, aplikasi itu akan menawarkan beberapa ciri buat para penyokong dan peminatnya seperti mendapatkan perkembangan dan berita semasa serta berinteraksi secara terus dengan pengurusan kelab berjulukan The Oilers terbabit.
Bukan itu sahaja, aplikasi itu akan turut menyediakan pendaftaran keahlian serta pemilikan saham di dalam Koperasi Penyokong Kelab Bola Sepak Kerteh Berhad (KPKBKB).
Perancangan untuk melancarkan aplikasi itu hadir selepas Kerteh FC menjalinkan kerjasama strategik dengan Sportexclub – sebuah syarikat inovasi teknologi maklumat (IT) dari Minsk, Belarus yang diasaskan secara bersama dengan bekas penyerang Liga Itali era 2000-an iaitu Vitali Kutuzov.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Sportexclub kerana pendekatan inovatif mereka untuk mengintegrasikan teknologi dengan pengurusan sukan selari dengan visi kami. Perkongsian ini akan menyediakan kami dengan sumber digital yang kami perlukan untuk meningkatkan operasi kami dan mencapai kejayaan yang lebih baik.”
“Sebagai sebahagian daripada perkongsian ini, Sportexclub akan menyokong usaha Kerteh FC untuk melibatkan komuniti dan mempromosikan penyertaan dan sokongan pihak awam. Aplikasi itu akan menjadi alat utama dalam program penglibatan peminat kami, membantu kami berhubung dengan penyokong dan memupuk budaya sukarelawan dan penyertaan komuniti di Kerteh.” kata Presiden Kerteh FC, Mohd. Razeman Mat Nashim dalam satu kenyataan.
Pada masa yang sama, aplikasi itu membolehkan Kerteh FC meningkatkan usaha pengumpulan dana dan mengembangkan data peminatnya selain berhubung dengan penaja dan penyokongnya secara digital sekaligus mampu menjana aliran pendapatan baharu.
Antara aplikasi untuk kelab bola sepak yang pernah dibina atau menggunakan platform Sportexclub adalah Krumkachy – sebuah kelab yang bersaing dalam kancah tertinggi bola sepak Belarus.
Hasilnya, Krumkachy telah merekodkan peningkatan yang signifikan dalam penjualan cenderamata, pas bermusim, purata kehadiran penyokong pada hari perlawanan dan keterlibatan bersama penyokong.
Kerteh FC memaklumkan pelancaran aplikasinya itu berada dalam fasa akhir dan pihak pengurusan kelab akan mengeluarkan kemaskini berkaitannya sebaik sahaja ianya sedia digunakan tidak lama lagi.