Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) akan mendapat presiden yang baharu pada 7hb September kelak.
Ini susulan badan induk bola sepak bagi ibu kota itu mengesahkan akan mengadakan kongres untuk memilih jawatankuasa baharu pada tarikh tersebut.
Tarikh bagi kongres tersebut disahkan sendiri oleh Pemangku Presiden KLFA, Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid dalam satu sidang media yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada hari ini.
“Pada mesyuarat khas yang diadakan pada jam 5 petang semalam, telah mengambil ketetapan dan memutuskan bahawa kita akan mengadakan Kongres KLFA pada tanggal 7 September 2024,” katanya.
Pengumuman itu turut dihadiri oleh Naib Presiden dan Setiausaha Agung KLFA iaitu Syed Yazid Syed Omar dan Nukman Mustaffa.
Keputusan yang dibuat pada kongres itu nanti menarik untuk disaksikan terutamanya oleh peminat Kuala Lumpur City FC (KL City) kerana KLFA merupakan pemilik majoriti kelab berkenaan.
Ia juga akan menentukan hala tuju dan pengoperasian kelab berjulukan The City Boys selepas terlantiknya presiden baharu KLFA.
Perebutan kerusi Presiden KLFA itu dijangka sengit kerana menurut sumber, terdapat empat individu yang dijangka dicalonkan untuk bertanding.
Abdullah Sani yang merupakan mantan Ahli Parlimen Kapar turut terbuka untuk menandingi jawatan berkenaan sekiranya terdapat ahli gabungan KLFA yang mencalonkan namanya.
Untuk makluman, Abdullah Sani dilantik sebagai pemangku presiden selepas Khalid Abdul Samad bertindak meletakkan jawatannya selaku Presiden KLFA sekitar pertengahan Mac lalu.