5 Pemain Bola Sepak Ternama Beraksi Di Olimpik 2024
July 24, 2024 Hafizuddin Omar

Upacara Pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung pada awal pagi Sabtu nanti namun sepak mula acara bola sepak lelaki di temasya ini dijadualkan pada hari ini.

Acara yang menghimpunkan 16 buah akan dilangsungkan di tujuh buah venue berlangsung di tujuh buah venue iaitu Stadium Bordeaux, Stadium Geoffroy-Guichard, Stadium La Beaujoire, Stadium Lyon, Stadium Marseille, Stadium Nice serta Parc des Princes.

Seperti ramai ketahui, acara bola sepak lelaki di temasya Olimpik merupakan pertandingan yang dikhususkan kepada pemain-pemain 23 tahun dan ke bawah sahaja namun dibenarkan untuk menyenaraikan maksimum tiga orang pemain lebih umur.

Seringkali slot pemain lebih umur itu akan diisi dengan pemain-pemain berpengalaman dan kadangkala yang ternama bagi membimbing pemain-pemain muda di skuad untuk menghadapi pertandingan ini.

Seramai lima pemain ternama disenaraikan untuk membantu pasukan masing-masing memburu pingat emas di temasya Olimpik Ke-33 ini dan berikut adalah senarainya:

#1 Alexandre Lacazette (Perancis)

Penjaring kedua terbanyak Ligue 1, Alexandre Lacazette menjadi salah seorang pemain lebih umur yang disenaraikan oleh legenda bola sepak Perancis, Thierry Henry untuk membantu Perancis memburu pingat emas bagi acara bola sepak lelaki di temasya Olimpik kali ini.

Lacazette yang berusia 33 tahun merekodkan 19 jaringan dalam kancah Ligue 1 musim lalu bersama Lyon dan membantu kelab tersebut menduduki tempat keenam dalam liga sekaligus meraih slot ke saingan Liga Europa 2024-25. Bekas penggempur Arsenal itu juga turut membantu Lyon mara ke perlawanan akhir Coupe de France sebelum terpaksa akur tumpas di tangan Paris-Saint Germain (PSG).

Sebagai rekod, itu merupakan musim keduanya bersama Lyon selepas meninggalkan Arsenal pada hujung Jun 2022 – kelab yang sama disertainya sebelum berhijrah menyertai Arsenal pada Mei 2017.

#2 Nicolas Otamendi (Argentina)

Pemenang Piala Dunia 2022 serta juara Premier League, Piala FA dan Piala Liga bersama Manchester City iaitu Nicolas Otamendi akan turut mewarnai pertandingan bola sepak lelaki di temasya Olimpik 2024.

Pertahanan berusia 36 tahun yang beraksi bersama Benfica pada ketika ini dipilih oleh Javier Mascherano untuk memperkukuhkan skuad Argentina terutamanya di bahagian benteng pertahanan.

Pada musim lalu, Otamendi menjadi tonggak utama dengan merekodkan 51 penampilan secara keseluruhan dalam pelbagai pertandingan samda domestik mahupun antarabangsa bersama Benfica. Kelibatnya membantu Benfica muncul naib juara Primeira Liga dan mara ke suku akhir Liga Europa.

#3 Achraf Hakimi (Maghribi)

Salah seorang bek kanan terbaik dunia pada saat ini, Achraf Hakimi turut sama menyerikan acara bola sepak lelaki di temasya Olimpik 2024 apabila disenaraikan untuk menyertai skuad negara, Maghribi.

Produk remaja Real Madrid yang beraksi bersama Paris Saint-Germain (PSG) berusia 25 tahun ini merangkul kejuaraan Ligue 1, Coupe de France dan Trophee des Champions pada musim lalu.

#4 Mohamed Elneny

Pemain tengah berusia 32 tahun, Mohamed Elneny antara pemain ternama khususnya dalam kancah Premier League (PL) untuk beraksi di temasya Olimpik 2024.

Elneny yang membantu Arsenal muncul naib juara PL pada musim lalu disenaraikan oleh ketua jurulatih, Micale Rogerio untuk memperkukuhkan skuad Mesir.

Bagaimanapun, ketika ini Elneny berstatus ejen bebas memandangkan Arsenal bimbingan Mikel Arteta tidak melanjutkan kontraknya yang tamat pada penghujung Jun lalu.

#5 Naby Keita (Guinea)

Pemain tengah yang pernah menyarung jersi Liverpool selama lima tahun, Naby Keita turut tersenarai untuk beraksi dalam acara bola sepak lelaki di temasya Olimpik Ke-33.

Pemain berusia 29 tahun yang beraksi bersama Werder Bremen pada ketika ini dibawa oleh Kaba Diawara untuk membimbing skuad Guinea.

Akan tetapi, pemain yang merangkul trofi Piala Dunia Kelab FIFA, Piala Supercup UEFA, Premier League, Piala FA dan Piala Liga ini hanya merekodkan lima penampilan sahaja pada musim lalu ekoran masalah kecederaan.

Featured Image: Equipe de France de Football

Komen