Tiga Syarikat Sediakan RM2 Juta Untuk Pemenang Pingat Emas Olimpik 2024 – KBS
July 26, 2024 Hafizuddin Omar

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan sebanyak tiga buah syarikat swasta menyediakan wang tunai berjumlah RM2 juta untuk diberikan kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut siaran media yang dikongsikan oleh KBS, tiga buah syarikat berkenaan ialah Yinson Holdings Berhad (syarikat infrastruktur & teknologi global), Matrix Concepts Holdings Berhad (syarikat pemaju) dan MJ Health Screening Centre (pusat pemeriksaan kesihatan). 

Dimaklumkan Yinson Holdings Berhad menyediakan tajaan sebanyak RM1 juta manakala Matrix Concept Holdings Berhad dan MJ Health Screening pula menyediakan sumbangan sebanyak RM500,000 masing-masing.

Sekiranya pemenang pingat emas di temasya itu nanti melebihi daripada seorang, jumlah RM2 juta itu akan dibahagikan sama rata kalangan yang memenangi kilauan pingat tersebut.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua penaja di atas tajaan yang diberikan dan kepercayaan bahawa atlet Malaysia mampu untuk membawa pulang emas pertama buat negara. Saya yakin semua atlet akan berusaha memberikan yang terbaik di bumi Paris nanti,” kata Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

Untuk makluman, ini merupakan tambahan RM2 juta selepas pemilik Top Residency (syarikat pangsapuri servis), pengasas Senheng (rangkaian kedai runcit barangan elektrik dan elektronik) serta Chery Malaysia (pengedar jenama Chery – pengeluar kereta berasal dari China) turut mengumumkan tajaan ganjaran masing-masing buat pemenang pingat emas Olimpik 2024.

Pemilik Top Residency menyatakan akan memberikan pangsapuri servis bernilai RM1 juta yang terletak di Setia Alam manakala pengasas Senheng pula menyediakan ganjaran RM1 juta kepada tiga pemain badminton negara, Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie – bekas pemain program pembangunan yang disokong Senheng.

Sementara itu, Chery Malaysia pula menjanjikan kereta model Tiggo 8 Pro, Omoda E5 dan Tiggo 7 Pro kepada pemenang pingat emas, perak dan gangsa masing-masing.

Featured Image: Olympics

Komen