Tang Jie-Ee Wei Lakar Kemenangan Sulung Di Sukan Olimpik
July 27, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei memulakan kempen Sukan Olimpik Paris 2024 dengan catatan kemenangan ke atas beregu Singapura, Terry Hee Yong Kai dan Jessica Tan Wei Han.

Gandingan yang julung kalinya beraksi di temasya Olimpik ini melakar kemenangan ke atas beregu yang menghuni ranking ke-17 terbabit secara “straight set” dalam tempoh masa tidak sampai 45 minit.

Pertembungan yang berlangsung di Arena Porte de La Chapelle itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei meraih kemenangan pada set pertama menerusi skor 23-21.

Manakala set kedua pula dimenangi oleh beregu yang menduduki ranking kesembilan dunia itu menerusi skor 21-12 sekaligus mengutip satu mata berharga daripada aksi pertama peringkat Kumpulan D ini.

Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Tang Jie-Ee Wei berjaya menumpaskan Terry-Jessica di pentas antarabangsa selepas mengalahkan mereka di Terbuka Swiss 2024 yang berlangsung pada Mac lalu.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen