Olimpik 2024: Aaron-Wooi Yik Atasi Cabaran Beregu Great Britain
July 27, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.1 negara merangkap juara Kejohanan Dunia BWF 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berhasil melepasi cabaran pada aksi pembukaan peringkat Kumpulan A di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik terpaksa berhempas-pulas ekoran diberikan tentangan sengit oleh beregu Great Britain, Ben Lane dan Sean Vendy selama sekitar 72 minit sebelum mengesahkan kemenangan.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik yang menduduki ranking keempat dunia dikejutkan oleh Ben-Sean apabila tumpas set pertama menerusi skor 19-21.

Mujurlah Aaron-Wooi Yik berhasil bangkit pada set seterusnya untuk melakar kemenangan menerusi skor 21-16 sekaligus mengeheret permainan ke set penentuan.

Pada set terakhir itu pula, Aaron-Wooi Yik meneruskan rentak kemenangan pada set kedua dan berhasil menutup set ketiga itu dengan skor 21-11 sekaligus mengesahkan kemenangan pertama pada peringkat Kumpulan A.

Hasil daripada kemenangan ini, Aaron-Wooi Yik bukan sahaja mendapatkan satu mata berharga untuk meluaskan peluangnya ke peringkat kalah mati bahkan turut memperbaharui rekod pertemuan menentang Ben-Sean kepada lima kemenangan berbanding satu kekalahan.

Bagi perlawanan peringkat Kumpulan A yang berikutnya pada petang esok (waktu Malaysia), Aaron-Wooi Yik akan berhadapan beregu Kanada yanng menghuni ranking ke-32 dunia, Dong Adam dan Nyl Yakura.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen