Olimpik 2024: Pearly-Thinaah Lakar Kemenangan Pertama Dalam ‘Kumpulan Maut’ Selepas 73 Minit
Hafiz Omar
Peluang beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan ke peringkat suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 masih terbuka.
Ini selepas pasangan negara yang menghuni ranking ke-13 dunia terbabit berhasil melakar kemenangan pertama peringkat Kumpulan A – dilabelkan sebagai kumpulan “maut” – selepas tumpas aksi pertama di tangan beregu No.1 dunia, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan, semalam.

Kemenangan itu hadir ketika bertemu beregu Jepun merangkap bekas juara Kejohanan Dunia BWF sebanyak dua kali, Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara pada hari ini.
Pertembungan ke atas gandingan yang menghuni ranking keenam dunia pada masa kini itu dimenangi oleh Pearly-Thinaah menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 18-21, 21-15 dan 21-16 dalam tempoh masa 73 minit.
Untuk makluman, keputusan yang terhasil di Porte de La Chapelle Arena ini menjadikan Pearly-Thinaah telah melakar empat kemenangan daripada enam pertemuan menentang Matsumoto-Nagahara di pentas antarabangsa.
Keputusan hari ini juga menjadikan Pearly-Thinaah mengutip satu mata berharga dan berkongsi kedudukan dengan Matsumoto-Nagahara dalam Kumpulan A.
Bagi perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, Pealy-Thinaah akan bertemu beregu Indonesia, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti pada Selasa (30hb Julai).
Featured Image: Olympic Council of Malaysia