Olimpik 2024: Tang Jie-Ee Wei Tempah Tiket Suku Akhir
July 28, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei tidak perlu menunggu lama untuk mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengesahan itu hadir selepas selesai aksi kedua peringkat Kumpulan D susulan Tang Jie-Ee Wei menumpaskan beregu Amerika Syarikat, Vinson Chiu dan Jennie Gai pada hari ini.

Pertembungan yang berlangsung di Arena Porte de La Chapelle menyaksikan Tang Jie-Ee Wei melakar kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 24-22.

Bagaimanapun dua set perlawanan tersebut tidak berlangsung dalam tempoh masa yang pendek memandangkan Tang Jie-Ee Wei memerlukan masa hampir satu jam lamanya sebelum mengesahkan kemenangan ke atas beregu ke-30 dunia tersebut.

Untuk makluman semua, tiket kemaraan ke suku akhir itu disahkan menjadi milik Tang Jie-Ee Wei susulan sepasang lagi beregu yang menghuni Kumpulan D melakar kemenangan kedua iaitu Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping.

Keputusan itu menjadi Yan Zhe-Dong Ping serta Tang JIe-Ee Wei menghuni dua tangga teratas Kumpulan D dengan kutipan dua mata masing-masing.

Manakala gandingan Vinson-Jennie serta beregu Singapura, Terry Hee Yong Kai dan Jessica Tan Wei Han pula disahkan gagal mara susulan tidak mengutip sebarang mata daripada dua perlawanan awal peringkat kumpulan.

Bagi perlawanan akhir peringkat kumpulan, Tang Jie-Ee Wei akan turun berentap menentang Yan Zhe-Dong Ping pada Isnin (29hb Julai) untuk merebut gelaran juara dan naib juara Kumpulan D.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen