Olimpik 2024: Beregu No.2 Dunia Tumpas, Tang Jie-Ee Wei Juara Kumpulan D
Hafiz Omar
Beregu campuran negara iaitu Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menutup saingan kumpulan dengan penuh bergaya apabila muncul juara Kumpulan D di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Lebih manis, kejuaraan itu hadir setelah berjaya menumpaskan beregu No.2 dunia dari China, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping, pada hari ini.
Pertarungan yang berlangsung di Arena Porte de La Chapelle itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei yang berada pada ranking kesembilan dunia menumpaskan mereka menerusi tiga set permainan dengan skor 17-21, 21-14 dan 21-15 dalam tempoh masa 65 minit.
Keputusan itu menjadikan rekod pertemuan melibatkan Tang Jie-Ee Wei dan Yan Zhe-Dong Ping di pelbagai kejohanan antarabangsa seimbang dengan dua kemenangan masing-masing.
Sebelum ini, satu-satunya kemenangan Tang Jie-Ee Wei ke atas pasangan itu hadir ketika bertemu julung kalinya di di Terbuka Thailand 2023.

Selaku juara Kumpulan D, kempen Tang Jie-Ee Wei akan menantikan cabaran suku akhir daripada naib juara daripada mana-mana kumpulan berdasarkan hasil undian yang dijalakankan nanti.
Semalam, Tang Jie-Ee Wei mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir setelah merakamkan kemenangan ke atas beregu Amerika Syarikat, Vinson Chiu dan Jennie Gai pada aksi kedua Kumpulan D.
Pada aksi pembukaan peringkat kumpulan pula, Tang Jie-Ee Wei yang pertama kali menjejakkan kaki ke temasya Olimpik langkah kanan dengan meraih kemenangan ke atas Terry Hee Yong Kai dan Jessica Tan Wan Hai.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia