Pemenang pingat gangsa Olimpik 2020, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terpaksa akur menamatkan saingan peringkat Kumpulan A di Olimpik 2024 selaku naib juara.
Ini berikutan beregu negara tersebut tewas aksi terakhir Kumpulan A kepada beregu No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng dan Wang Chang pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking keempat dunia tewas pertarungan yang berlangsung di Arena Porte de La Chapelle secara “straight set” menerusi skor 22-24 dan 14-21 dalam tempoh masa 41 minit.
Keputusan itu menjadikan Aaron-Wooi Yik menutup kempen peringkat Kumpulan A dengan kutipan dua mata hasil daripada dua kemenangan dan satu kekalahan.
Wei Keng-Chang pula mengungguli Kumpulan A dengan tiga mata hasil daripada tiga kemenangan berturut-turut termasuk menumpaskan gandingan Dong Adam-Nyl Yakura (Kanada) dan Ben Lane-Sean Vendy (Great Britain).

Pada masa yang sama, keputusan pada pagi itu juga merupakan kekalahan ketujuh dialami Aaron-Wooi Yik daripada sembilan pertemuan dengan Wei Keng-Chang di pelbagai kejohanan antarabangsa.
Bagaimanapun, kemaraan Aaron-Wooi Yik ke peringkat suku akhir telah pun disahkan selepas meraih dua kemenangan dalam dua pertarungan awal Kumpulan A bertemu wakil Great Britain dan Kanada.
Sementara itu, lawan bagi Aaron-Wooi Yik pada peringkat suku akhir akan diketahui selepas berlangsungnya sesi undian peringkat kalah mati pada malam esok (selepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan melibatkan beregu lelaki).
Featured Image: Olympic Council of Malaysia