Olimpik 2024: Pearly-Thinaah Ke Suku Akhir, Muncul Naib Juara ‘Kumpulan Maut’
July 30, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan berjaya melepasi cabaran Kumpulan A – dilabel sebagai kumpulan maut – sekaligus menempah tiket kemaraan ke peringkat suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024.

Pearly-Thinaah menamatkan saingan Kumpulan A yang terdiri daripada beregu No.1 dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan; juara dunia sebanyak dua kali dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan naib juara dunia 2023, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti selaku naib juara.

Pengesahan gelaran naib juara itu hadir selepas Pearly-Thinaah berhasil menumpaskan Apriyani-Siti Fadia dari Indonesia itu pada aksi terakhir Kumpulan A di Arena Porte de La Chapelle, pada hari ini.

Lebih manis, kemenangan Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-13 dunia pada ketika ini dilakar secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-9 dalam tempoh masa 43 minit.

Keputusan pada hari ini turut menjadikan Pearly-Thinaah kini mendahului rekod pertemuan menentang Apriyani-Siti Fadia yang menghuni ranking kesembilan dunia dengan empat kemenangan daripada tujuh pertembungan di pelbagai kejohanan antarabangsa.

Pada masa yang sama, kemenangan Qing Chen-Yi Fan ke atas Matsumoto-Nagahara pada petang tadi turut membantu mengukuhkan kedudukan Pearly-Thinaah selaku naib juara Kumpulan A. 

Sementara itu, lawan bagi Pearly-Thinaah akan diketahui selepas berlangsungnya sesi undian bagi peringkat suku akhir yang dijangkan dijalankan pada awal pagi esok (waktu Malaysia) – selepas selesainya perlawanan terakhir Kumpulan D.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen