Olimpik 2024: Pearly-Thinaah Lawan Juara All England Di Suku Akhir
Hafiz Omar
Pasangan yang merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2023 menjadi lawan yang akan dihadapi oleh beregu negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan pada peringkat suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024.
Gandingan yang dimaksudkan itu ialah Kim So Yeong dan Kong Hee Yong yang berusia 32 dan 27 tahun masing-masing dari Republik Korea dan kini menduduki ranking kesepuluh dunia.
Lawan buat Pearly-Thinaah itu disahkan selepas berlangsungnya sesi undian peringkat suku akhir bagi kategori beregu wanita di temasya berkenaan pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Melihatkan kepada rekod, Pearly-Thinaah dilihat pernah berentap menentang So Yeong-Hee Yong sebanyak satu kali sebelum ini.

Pertemuan itu berlangsung pada peringkat kumpulan di Jelajah Dunia Akhir BWF 2021 yang menyaksikan Pearly-Thinaah mengalami kekalahan secara “straight set” menerusi skor 14-21 dan 14-21.
Kejohanan itu juga menyaksikan So Yeong-Hee Yong merangkul kejuaraan pada edisi berkenaan.
Terdahulu, gandingan So Yeong-Hee Yong mara ke suku akhir Sukan Olimpik ini selaku juara Kumpulan C yang turut terdiri daripada gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida (No.4 dunia); beregu Australia, Setyana Mapasa-Angela Yu (No.26 dunia) dan beregu India, Tanisha Crasto-Ashwini Ponnappa (No.18 dunia).
Sementara itu, melihatkan kepada hasil undian itu juga, sekiranya berhasil melepasi peringkat suku akhir, Pearly-Thinaah akan berhadapan semula samada beregu No.1 dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan atau gandingan adik beradik dari Bulgaria yang kini berada di ranking ke-21 dunia, Gabriela Stoeva dan Stefani Stoeva.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia