Olimpik 2024: Pemain No.2 Korea Bergelut Lepasi Goh Jin Wei
July 31, 2024 Hafizuddin Omar

Pemain No.2 Korea, Kim Ga Eun mengesahkan tempat ke pusingan 16 di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menumpaskan Goh Jin Wei pada aksi terakhir Kumpulan H, hari ini.

Bagaimanapun, Ga Eun yang menghuni ranking ke-17 dunia terlebih dahulu terpaksa bergelut selama lebih satu jam untuk melakar kemenangan ke atas Jin Wei yang diketahui ramai tidak berada di tahap kecergasan tertingginya selepas menjalani pembedahan kolektomi pada tahun 2019 lalu.

Perlawanan yang berlangsung di Arena Porte de La Chapelle itu menyaksikan Ga Eun bermula dengan langkah kanan merekodkan kemenangan pada set pertama menerusi skor 21-17. 

Namun begitu, Jin Wei berhasil mendapatkan rentaknya dan bangkit untuk memenangi set kedua dengan skor 22-20 sekaligus mengheret permain ke set ketiga atau set penentuan.

Pada set seterusnya itu, kedua-dua pemain saling bergasak dan saling kejar-mengejar sehingga membawa ke situasi “deuce” sebelum Ga Eun menutupnya dengan kemenangan 23-21. 

Kemenangan itu sekaligus menobatkan Ga Eun selaku juara Kumpulan H hasil daripada mencatatkan dua kemenangan berturut-turut selepas menumpaskan pemain Afrika Selatan yang menghuni ranking ke-102 dunia, Johanita Scholtz pada perlawanan pertamanya. 

Sementara itu, Jin Wei yang memberikan cabaran sengit kepada Ga Eun terpaksa akur menamatkan kempen debut Sukan Olimpiknya setakat peringkat kumpulan. 

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen