Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia menepati jangkaan ramai untuk melakar kemaraan ke pusingan 16 di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu melakar kemaraan berkenaan selepas berjaya menumpaskan pemain Sepanyol yang berusia 39 tahun, Pablo Abian secara “straight set” menerusi skor 21-10 dan 21-13 dalam tempoh masa 34 minit.
Kemenangan ke atas pemain yang menduduki ranking ke-62 dunia itu sekaligus menobatkan Zii Jia selaku juara Kumpulan G.
Sebagai rekod, ini merupakan pertembungan kedua melibatkan kedua-dua pemain selepas berentap buat julung kalinya di Terbuka HYLO 2021.
Di kejohanan tersebut, Zii Jia turut berhasil melakar kemenangan namun ia memerlukan pemain berusia 26 tahun berkenaan mengharungi tiga set permainan terlebih dahulu sebelum mencatatkan kemenangan menerusi skor 21-11, 21-23 dan 24-22 pada ketika itu.
Sementara itu, pada pusingan 16 kelak, Zii Jia akan berhadapan dengan juara Kumpulan H samada pemain No.2 Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting atau pemain Perancis di ranking ke-20 dunia, Toma Junior Popov.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia