Teka-teki mengenai lawan yang akan dihadapi oleh Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pada peringkat suku akhir di Sukan Olimpik Paris 2024 sudah terjawab.
Beregu lelaki No.1 negara yang menamatkan aksi Kumpulan A selaku naib juara akan berhadapan dengan Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty dari India – lawan yang menumpaskan mereka dalam tiga pertemuan terakhir.
Keputusan mengenai lawan buat Aaron-Wooi Yik diketahui selepas berlangsungnya sesi undian bagi peringkat suku akhir, sebentar tadi.
Untuk makluman semua, Satwiksairaj-Chirag mara ke suku akhir selaku juara Kumpulan C dengan menumpaskan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia) dan Lucas Corvee-Ronan Labar (Perancis).
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik mengalami tiga kekalahan berturut-turut itu semasa turun berentap dengan Satwiksairaj-Chirag di Terbuka India 2024, Sukan Asia 2022 dan Terbuka Indonesia 2023.
Lebih menggerunkan, ketiga-tiga pertarungan itu berakhir dengan Aaron-Wooi Yik – pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 – mengalami kekalahan secara “straight set”.
Bagaimanapun, kelapan-lapan pertemuan awal melibatkan kedua-dua pasangan ini di pelbagai kejohanan antarabangsa memihak kepada Aaron-Wooi Yik.
Sebagai tambahan, pertembungan Aaron-Wooi Yik dan Satwiksairaj-Chirag untuk merebut slot ke peringkat separuh akhir ini dijadualkan berlangsung pada petang Khamis (waktu Malaysia).
Featured Image: Olympic Council of Malaysia