Kelab yang merangkul gelaran “double quadruple” iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) merekodkan keputusan seri buat julung kalinya dalam saingan Liga Malaysia 2024-25.
Lebih mengejutkan, keputusan seri itu hadir ketika skuad berjulukan Harimau Selatan terbabit berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang menentang pasukan di tangga kesebelas Liga Super, PDRM FC.
Perlawanan yang dihadiri 5,500 penonton tersebut menyaksikan PDRM FC bimbingan P. Maniam berhasil mencetak jaringan pendahuluan menerusi Shahrel Fikri pada minit ke-21.
Bagaimanapun, pendahuluan itu tidak kekal lama apabila JDT dapat menjaringkan gol penyamaan menerusi Oscar Arribas selang 11 minit kemudian.
Akan tetapi, rekod enam kemenangan berturut-turut skuad Merah Biru dalam saingan Liga Super tidak dapat dilebarkan susulan tiada tambahan jaringan dapat dilakukan sehingga pengadil bertugas, Muhammad Shukor Zulkiflee meniup wisel menamatkan permainan.
Walaupun mencatatkan keputusan seri, JDT masih unggul di persada Liga Super dengan kutipan 19 mata setelah mengharungi tujuh perlawanan.
Selangor FC yang berada di tangga kedua pula ketinggalan sebanyak enam mata – mengumpul 13 mata setakat ini.
Sementara itu, PDRM FC pula tidak berganjak daripada kedudukan kesebelas Liga Super dengan sekadar mengumpul lima mata sahaja setakat ini.
Untuk makluman semua, aksi Liga Super akan berehat seketika dan akan bersambung semula pada 9hb hingga 11hb Ogos kelak bagi memberikan ruangan untuk pertarungan separuh akhir kedua Piala FA 2024-25 pada Sabtu dan Ahad nanti.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers