Pearly-Thinaah Beregu Wanita Pertama Ke Separuh Akhir Olimpik
August 1, 2024 Hafizuddin Omar

Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan menempa sejarah baharu dalam arena badminton tanah air apabila muncul sebagai beregu wanita Malaysia pertama melakar kemaraan ke separuh akhir Sukan Olimpik.

Gandingan pemain berusia 24 dan 26 tahun masing-masing itu melakar kemaraan tersebut selepas meraih kemenangan ke atas beregu Republik Korea, Kim So Yeong dan Kong Hee Yong pada peringkat suku akhir di Arena Porte de La Chapelle, Paris, pada hari ini.

Pertarungan itu dimenangi oleh Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-12 dunia ke atas Kim-Kong secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-13 dalam tempoh masa 39 minit.

Pada masa yang sama, keputusan pada hari ini turut menjadikan rekod pertemuan Pearly-Thinaah daan Kim-Kong di pentas antarabangsa seimbang dengan satu kemenangan masing-masing.

Untuk makluman, julung kali dan kali terakhir kedua-dua pasangan ini bertemu adalah di Jelajah Dunia Akhir BWF 2021 yang menyaksikan Kim-Kong meraih kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-14 dan 21-14.

Pada peringkat separuh akhir kelak, Pearly-Thinaah akan bertemu semula beregu No.1 dunia dari China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan untuk merebut tempat ke perlawanan akhir Sukan Olimpik Paris 2024.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen